Empat lagi empangan Sabo dibina tahun ini - Utusan Malaysia

Empat lagi empangan Sabo dibina tahun ini

AKMAL Nasrullah Mohd. Nasir melihat projek Empangan Sabo Titi Hayun yang siap dibina selepas majlis penyerahan kepada kerajaan negeri Kedah di Titi Hayun, Yan. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Empat lagi empangan Sabo di Negeri Sembilan, Terengganu, Pahang dan Sabah akan dibina bermula tahun ini bagi mengurangkan impak kemusnahan kejadian banjir aliran puing di kawasan hilir sungai.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, empat projek ini tidak termasuk di Baling, dekat sini yang telah diluluskan sebelum ini susulan aliran puing yang melanda Kampung Iboi.

Katanya, empat projek empangan itu dianggarkan menelan kos antara RM30 juta sehingga mencecah RM144 juta mengikut lokasi terlibat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Projek itu kita buat secara berperingkat, maksudnya tahun ini lebih kepada pra-pelaksanaan sebelum dijangka boleh siap dalam tempoh dua tahun.

“Selain itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengenal pasti kawasan-kawasan lain yang ada potensi berlakunya kepala air mahupun banjir aliran puing ini kerana kita sentiasa melihat keperluan ini dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang akhbar Majlis Penyerahan Projek Empangan Sabo Titi Hayun dan Tupah di sini, hari ini.

Terdahulu, projek Empangan Sabo Titi Hayun dan Tupah yang kini siap sepenuhnya di bawah fasa satu menelan belanja sebanyak RM22.8 juta.

Projek empangan Sabo itu yang dilaksana secara reka bina mengambil masa selama 18 bulan daripada proses reka bentuk sehingga penyiapan projek.

Ia bertujuan menghalang banjir puing dan arus deras ketika berlakunya kepala air dan banjir lumpur seterusnya mengelakkan kemusnahan di kawasan hilir sungai serta dapat menyelamatkan nyawa penduduk setempat.

Sementara itu, pelaksanaan perlindungan segera di dalam fasa satu merangkumi pembinaan struktur sabo serta kerja-kerja berkaitan dan pembinaan dua jambatan baharu yang melibatkan peruntukan sejumlah RM48.71 juta.

Pada 18 Ogos 2021, fenomena kepala air dari puncak Gunung Jerai memusnahkan pusat peranginan Titi Hayun, Batu Hampar dan Seri Perigi selain mengakibatkan banjir besar yang menjejaskan lebih 800 rumah di daerah Yan dan 200 di Kuala Muda.

Bencana itu turut mengorbankan enam mangsa akibat dihanyutkan arus deras dan mengakibatkan lebih 2,000 penduduk terjejas selain 124 premis perniagaan dan 14 chalet pelancongan desa mengalami kerosakan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN