Cukai SST beri kesan fiskal lebih cepat

Cukai SST beri kesan fiskal lebih cepat

LIM HUI YING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan ketika ini mampu memberikan kesan fiskal yang lebih cepat berbanding pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, bagaimanapun, sebarang dasar dan perubahan akan mengambil kira persekitaran ekonomi yang bersesuaian terutama aspek kesan inflasi daripada rasionalisasi subsidi.

“Kerajaan akan terus mengutamakan untuk menambah baik sistem cukai sedia ada dan memperkenalkan percukaian yang tidak memberi kesan kepada golongan rentan sebelum menilai keperluan untuk memperkenalkan cukai kepenggunaan baharu seperti GST.

“Justeru, sebarang perubahan dasar kepada sistem percukaian berasaskan kepenggunaan seperti melaksanakan semula GST akan diteliti bagi memastikan ia bersifat progresif, mudah ditadbir, tidak memberi impak negatif kepada kos sara hidup dan pertumbuhan ekonomi serta pada masa sama dapat menjana hasil yang mampan kepada kerajaan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) meminta kementerian menjelaskan sama ada kerajaan berhasrat untuk memperkenalkan semula GST, iaitu sistem cukai yang disifatkan lebih baik berbanding SST.

Kamal turut menyatakan usaha kerajaan dalam mempertingkatkan hasil, selain melalui pungutan cukai dan pelaksanaan subsidi bersasar.

Mengulas lanjut, Hui Ying berkata, bagi 2023, kutipan cukai menyumbang sekitar RM229 bilion atau 72.8 peratus daripada hasil kerajaan sebanyak RM315 bilion.

Katanya lagi, pemberian subsidi, insentif dan bantuan kerajaan pula adalah sekitar RM80 bilion atau 19.7 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM406 bilion.

“Ini jelas menunjukkan bahawa kedua-dua komponen ini mempunyai hubung kait yang signifikan dengan kedudukan fiskal negara.

“Oleh demikian, adalah wajar perubahan dasar fiskal Malaysia memberi tumpuan kepada kedua-dua ini terlebih dahulu bagi mengambil peluang akan kedudukan fiskal negara yang stabil pada masa ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN