“CAJ 20 sen beg plastik, perlu atau tidak? Saya kira ia perlu ‘diharamkan’ sahaja.
Tidak perlu sediakan beg plastik. Jangan beri pilihan. Itupun kalau kita benar-benar mahu mendidik masyarakat mengenai implikasi plastik dan sayangkan alam sekitar.
Kalau mahu pergi membeli, siapkan awal-awal beg untuk meletak barang kita beli. Beli makanan pun sama. Setiap hari kita makan, bawalah bekas sendiri.
Pilihan yang ada bukan sama ada dikenakan caj atau tidak, sebaliknya nak jadi rajin atau malas,” lantang aktivis alam sekitar, Najihah memberikan komen sewaktu saya bertemunya baru-baru ini mengulas mengenai isu sisa plastik negara kita.
Pandangannya itu sama dengan pandangan saya dan ramai lagi dalam kalangan masyarakat kita yang mencintai alam sekitar.
Tetapi sebab kita tidak membuat dasar dan sebarang keputusan, kita cenderung menjadi lalang.
Ada masa kalau ingat mahu bawa beg dan bekas makanan sendiri, bawalah bersama. Ada masa malas, kita pun minta bekas plastik daripada penjual.
Bagi penjual tegas, jangan sediakan bekas kepada pelanggan. Biar hasil jualan tidak laku asalkan tidak menggunakan beg plastik. Berani atau tak?
Ada pilihan itu memang menyeronokkan, lebih-lebih lagi kalau pilihan itu tidak menyusahkah kita. Apa sangatlah caj 20 sen itu. Kita mahukan yang senang dan tidak membebankan diri.
Biarlah dunia bercakap pasal alam sekitar yang tercemar, asalkan kita tidak susah-susah menjinjing beg plastik.
Sebab segala-galanya mengenai pilihan. Lagipun sampah dan sisa plastik itu bukan kita punya, mungkin dia atau si polan?
Pada akhirnya pilihan itulah yang menyebabkan usaha negara mengurangkan penggunaan plastik berada di tahap yang masih rendah sejak caj 20 sen dikenakan ke
atas beg plastik diperkenalkan lebih 20 tahun lalu.
Ia diburukkan lagi dengan gaya pemakanan kita yang gemarkan makanan berkuah-kuah dan mudah basi.Tanpa bersalah kita sebut -‘bungkus, kuah asing’.
Pembelian produk menerusi secara dalam talian yang semakin rancak memburukkan situasi. Pelbagai jenis bentuk plastik digunakan bagi memastikan barangan kita pesan, selamat dan tidak rosak sepanjang perjalanan menuju ke alamat rumah kita.
Apa pilihan yang kita ada? Adakah dengan memulaukan produk online?
Lebih 400 juta tan plastik dihasilkan setiap tahun di seluruh dunia dengan satu pertiga daripadanya hanya digunakan sekali, manakala kurang 10 peratus dikitar semula.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan antara 19 hingga 23 juta tan plastik dibuang ke tasik, sungai dan laut setiap tahun, menyamai muatan penuh dari lebih 2,000 lori sampah dibuang ke lokasi berkenaan setiap hari.
Pencemaran plastik boleh dikurangkan sebanyak 80 peratus menjelang 2040 jika manusia bertindak mengguna semula, mengitar semula dan mengelak menggunakannya.
Plastik meningkatkan risiko kesihatan manusia dan kepelbagaian biologi serta mencemarkan ekosistem dari puncak gunung hingga ke dasar lautan. Tak kanlah kita mahu tunggu sehingga musibah berlaku depan mata?
-Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana, Utusan Malaysia.











