LEIPZIG: Itali mengiringi Sepanyol untuk mara ke pusingan kalah mati Kejohanan Eropah (Euro) 2024 apabila muncul pasukan kedua terbaik Kumpulan B selepas terikat 1-1 menentang Croatia, sebentar tadi.
Pujian wajar diberikan kepada penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma apabila menyelamatkan sepakan penalti Luka Modric pada minit ke-54 selepas bola terkena tangan Davide Frattesi.
Itali terpaksa beraksi dengan penuh debaran apabila Croatia terlebih dahulu menjaringkan gol perlawanan menerusi percubaan Modric pada minit ke-55.
Tersentak dengan jaringan tersebut skuad kendalian Luciano Spalletti cuba mengatur serangan namun menerima tentangan sengit daripada Croatia.
Ketika permainan seakan-akan berpihak kepada Croatia, pemain sayap Itali, Mattia Zaccagni muncul wira pasukan apabila menjaringkan gol penyamaan sekali gus memastikan satu mata berharga menjadi milik mereka.
Itali muncul naib juara Kumpulan B dengan empat mata, manakala Croatia di tempat ketiga dengan dua mata.
Skuad kendalian Zlatko Dalic berpeluang untuk mara ke peringkat kalah mati namun perlu menjadi empat pasukan di tempat ketiga terbaik dan itu bergantung kepada keputusan perlawanan daripada kumpulan lain. – AGENSI/UTUSAN










