TOKYO: Ujian klinikal pertama di dunia untuk ubat yang boleh menumbuhkan semula gigi manusia dijangka bermula September ini di Hospital Universiti Kyoto.
Pasukan penyelidik di Institut Penyelidikan Perubatan Hospital Kitano di Osaka mahu mengkomersialkan ubatnya menjelang 2030, bagi merawat individu yang mengalami ‘edentulisme kongenital’.
Ia adalah keadaan mengenai individu dilahirkan dengan gigi tumbuh sedikit daripada biasa yang menjejaskan satu daripada 1,000 orang.
Dilahirkan dengan keadaan hilang enam atau lebih banyak gigi, pesakit ini menghadapi kesukaran untuk makan dan mengembangkan rahang mereka dengan betul.
Pesakit juga sering bergantung dengan gigi palsu atau implan apabila dewasa kerana belum ada penawar.
Pasukan penyelidik yang diketuai oleh Ketua Jabatan Pergigian dan Pembedahan Mulut Hospital Kitano, Katsu Takahashi menumpukan kajian pada ‘uterine sensitization associated gene-1‘ (USAG-1), yang menjadi punca utama pertumbuhan gigi manusia terhenti.
Pasukan itu menghasilkan ubat yang menyekat kesan USAG-1 dan berjaya diuji pada pertumbuhan gigi tikus serta anjing beagle.
Dalam ujian klinikal yang dijangka berterusan hingga Ogos 2025, individu dewasa akan menerima suntikan ubat untuk melihat sama ada mereka mengalami sebarang masalah kesihatan.
Fasa kedua ujian akan dilakukan terhadap kanak-kanak berumur dua hingga tujuh tahun yang kehilangan sekurang-kurangnya empat gigi.
Penyelidik mengatakan ubat itu juga berpotensi berhasil kepada pesakit yang kehilangan gigi akibat penyakit gusi atau kecederaan.- AGENSI