ISKANDAR PUTERI – Penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan tugas sukar menjinakkan pasukan amatur, Malaysian University 5-0 pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.
Pada pertemuan itu, Hector Bidoglio tidak menurunkan pemain import dan hanya menggunakan khidmat pemain naturalisasi dan warisan seperti Natxo Insa, Junior Eldstal, Mohamadou Sumareh dan Corbin Ong.
Biarpun tanpa kehadiran pemain import, skuad Harimau Selatan tetap berupaya mencipta jaringan seawal minit kedua menerusi rembatan Corbin Ong dari jarak dekat setelah mendapat umpanan Syahmi Safari.
Jaringan tersebut membuatkan pengendali University Tigers, Ridzuan Abu Shah mengarahkan pemain untuk mengetatkan benteng pertahanan supaya lebih kompak bagi memastikan tidak mudah dibolosi.
Taktikal itu dilihat menjadi apabila pemain JDT berdepan kesukaran untuk menambah jaringan pada aksi babak pertama itu.
Ramadhan Saifullah Usman, Sumareh dan Natxo Insa masing-masing berupaya melakukan percubaan tepat ke arah namun gagal menewaskan penjaga gol, Ashraf Mohamad Fadhil.
Percubaan terbaik JDT untuk menambah jaringan menerusi sepakan percuma kapten Safiq Rahim namun rembatan pemain veteran itu sekadar menggegar tiang gol Malaysian University.
Tindakan Bidoglio membawa masuk Chico Geraldes dan Romel Morales pada babak kedua bukan sahaja berjaya mengubah rentak permainan JDT malah membuka jaringan seawal minit ke-48.
Corbin Ong sekali lagi membuat bantuan gol setelah melakukan cutback kepada Geraldes melepaskan rembatan yang terbias setelah bola terkena kaki Tuan Ahmad Murqis Tuan Noor Marzuki sebelum menerjah jaring gol.
Geraldes menambah jaringan pada minit ke-61 dengan melakukan rembatan lencong bagi menambah jaringan buat Harimau Selatan.
Shahrul Saad terlepas peluang keemasan untuk menambah derita buat pasukan amatur itu pada minit ke-66 namun sepakan yang dilakukan melambung jauh.
Shahrul bagaimanapun mengubati kekecewaan apabila meledak gol menerusi jaringan tandukan pada pada minit ke-70.
Morales yang turut melepaskan beberapa peluang gol turut berjaya memahatkan nama dalam senarai penjaring dengan meledak gol pada minit ke-80 sekali gus menambah derita buat pasukan Liga M3 semi pro.
Pasukan Malaysian University menjaringkan gol pada minit ke-84 namun dibatalkan oleh pengadil perlawanan setelah pemeriksaan video bantuan pengadil (VAR) mendapati pemain pasukan itu berada di kedudukan ofsaid.
Timbal balik aksi suku akhir itu akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada 5 Julai ini. – UTUSAN










