Indahnya dampingi al-Quran

Indahnya dampingi Al-Quran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMINGGU sebelum Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Kebangsaan (MTHQK) 2022, keluarganya diuji tahap kesihatan.

Lantaran insiden itu, Sofizah Mousin, 35, hampir menarik diri sebagai wakil Selangor apabila anak bongsunya dimasukkan ke hospital akibat jangkitan kuman di samping keadaan dirinya yang kurang sihat.

Berkat kesabaran, kuat semangat dan tidak mengalah, beliau meneruskan komitmen tersebut hingga berjaya meraih tempat pertama menerusi markah sebanyak 85 peratus.

Kemenangan itu sekali gus melayakkannya mewakili Malaysia dan lebih manis apabila dinobatkan sebagai johan qariah antarabangsa (MTHQA).

Mengimbas lembaran 2022, anak jati Kota Kinabalu, Sabah ini berkata, ia merupakan tahun penuh ujian dan kejutan buat keluarganya terutama menjelang tilawah kebangsaan yang diadakan di Johor pada 17 Jun.

Episod itu bermula sejak awal tahun lagi, apabila suami tercinta, Ahmad Asrol Saidi, 37, hilang pekerjaan selama hampir setahun.

Ujian bersilih ganti apabila mereka sekeluarga dijangkiti Covid-19 dengan suami dan anak sulung terpaksa ditahan di wad.

Dunianya gelap seketika kerana suami didapati sudah di tahap 4 dan hampir ditidurkan.

“Dalam semua ujian itu, paling tidak boleh dilupakan apabila anak bongsu mengalami jangkitan kuman dan selepas keadaannya beransur pulih, saya pula yang tidak sihat.

“Jujurnya saya hampir putus asa memandangkan tinggal beberapa hari sahaja lagi tilawah kebangsaan tetapi atas dorongan dan bantuan suami, saya kuatkan juga diri,” katanya ketika ditemui Seri baru-baru ini

Sofizah bersyukur kerana urusannya dipermudahkan dan dilimpahi rezeki yang tidak disangka-sangka dalam hidup.

Sehingga ke tilawah antarabangsa pun, ibu dua anak ini masih diuji dengan kesihatan hingga membataskan latihan tetapi tiada satu pun kuasa mampu menggugat takdir Allah.

“Kita rasa kita cukup susah namun ada orang lain yang lebih susah. Jangan sesekali putus asa, teruskan berusaha dan serahkan segalanya kepada Pencipta.

“Walaupun dalam keadaan kurang sihat ketika itu, saya cuba buat yang terbaik dan tidak sangka dapat muncul juara qariah,” katanya yang pernah hilang suara ketika sesi latihan.

 

Taranum sejak kecil
Menceritakan detik persahabatan dengan al-Quran, seawal usia lima tahun lagi Sofizah sudah mengaji manakala khatam dalam tempoh singkat iaitu setahun berikutnya.

Malah, ketika di sekolah rendah, beliau sering diminta guru-guru untuk mengalunkan bacaan ayat-ayat suci.

Dianugerahkan suara yang lunak merdu, minatnya terarah pada seni suara termasuk nyanyian.

Memasuki Tingkatan 1 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kota Kinabalu, wanita kecil molek ini didedahkan dengan ilmu taranum menerusi kelas kemahiran al-Quran (KKQ).

“Sejak itu, saya jatuh hati dan gigih mendalaminya termasuk membeli kaset-kaset qari masyhur seperti Ustaz Yahya Daud.

“Zaman dulu, akses kepada telefon bimbit dan Internet susah, jadi saya banyak belajar daripada kaset-kaset sahaja,” kata pemegang Sijil Tinggi Taranum di Darul Quran, Kuala Kubu Bharu.

Kongsi Sofizah, pengalaman dalam tilawah al-Quran bermula sejak di bangku sekolah menengah dan berterusan hingga ke universiti apabila meraih pelbagai anugerah termasuk di peringkat ASEAN.

Istimewanya, kesemua wang kemenangan itu kemudian dilaburkan bagi berguru dengan pakar-pakar taranum di seluruh Malaysia.

“Saya korbankan duit hadiah untuk terbang ke Semenanjung berjumpa dengan qari-qari hebat termasuk menetap di Kelantan selama dua minggu,” katanya.

Sebelum menamatkan pengajian di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Sofizah turut berjinak-jinak dengan pertandingan tilawah al-Quran anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2012, tetapi rezeki tidak berpihak padanya.

Cubaan itu diteruskan lagi dari 2013 hingga 2018, namun kecundang di peringkat kebangsaan selain berdepan halangan apabila perlu berpindah ke Selangor dan disahkan hamil anak pertama serta kedua.

Kemunculan semulanya dalam pertandingan berprestij itu pada 2022 membuahkan 1,001 kemanisan apabila dipilih sebagai johan qariah antarabangsa.

Tempoh ‘rehat’ selama empat tahun itu dimanfaatkan Sofizah dengan bertalaqi secara konsisten bersama qari-qari di Kelantan dan sekitar ibu kota.

Berlatih dalam kereta
Pernah hilang suara akibat latihan berterusan selama dua minggu, Sofizah enggan berlebih-lebihan dan memilih kaedah yang bersesuaian berdasarkan tahap kemampuannya.

Disebabkan kesibukan sebagai pendidik dan ibu, kebanyakan latihan dilakukan di dalam kereta, ketika perjalanan pulang ke rumah.

Sesekali, beliau turut menghubungi guru-gurunya untuk memantapkan taranum.

“Latihan saya tidak formal dan cuma mendengar rakaman dan ikut bacaan,” katanya tidak sangka diumumkan sebagai pemenang.

Katanya, dalam tilawah antarabangsa, pesaing terdekatnya adalah qariah Indonesia kerana memiliki kelebihan dari segi suara yang mantap.

Tanpa ada sebarang rahsia, kongsinya, tumpuan diberikan kepada tajwid dan sebutan fasohah, manakala alunan lagu pula hanya mengikut format yang ditetapkan.

Al-Quran penawar
Sofizah mengakui tidak boleh berpisah dengan al-Quran, bahkan lidahnya sentiasa dibasahi ayat-ayat suci setiap hari.

Ujarnya, kalam Allah itu adalah syifa atau penawar kepada segala kesulitan dan kesakitan.

“Apabila membacanya, automatik jadi bersemangat, tenang, seronok dan lembut hati, seolah-olah hilang semua hal-hal kerja atau masalah.

“Kehidupan pun jadi lebih teratur, sebab itu saya tidak boleh berpisah dengan al-Quran, dan walaupun uzur (haid), saya akan berzikir dan membaca surah lazim,” katanya.

Antara surah kegemarannya ialah al-Baqarah, al-Mulk, ad-Duhaa, al-Waqiah, al-Buruj, Luqman dan Yasin yang merupakan jantung al-Quran.

Selain itu, guru geografi itu turut berkongsi ilmunya menerusi program bacaan al-Quran di televisyen pada Ramadan lalu.
Terbaharu, beliau menerajui rancangan Mari Ngaji sebanyak 13 episod yang akan ditayangkan bulan depan.

Buka akademi
Sebagai perancangan masa depan, Sofizah dan suami berhasrat untuk menubuhkan akademi al-Quran.

Jika tiada aral, pusat pengajian itu dijangka beroperasi secara kecil-kecilan pada tahun depan.

Matlamatnya adalah untuk melahirkan lebih ramai golongan pembaca al-Quran di Malaysia tanpa mengira usia.

“Ketika ini, saya sudah berjinak-jinak mengajar kelas-kelas tajwid dan taranum.

“Malah, saya juga terima banyak permintaan untuk buat kelas secara dalam talian,” katanya.

Sementara itu, katanya, untuk menguasai seni taranum seseorang perlu memiliki minat dan keazaman tinggi.

Katanya, terdapat tujuh jenis taranum iaitu baiyati, soba, hijaz, nahwand, rast, sikah dan jiharkah.

“Tetapi apalah ertinya seseorang pandai berlagu, jika bacaan tajwid tunggang-langgang,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN