Hakim Danish lengkap aksi di tempat ke-11 di Assen

Hakim Danish lengkap aksi di tempat ke-11 di Assen

HAKIM Danish (No. 13) sewaktu beraksi dalam perlumbaan 1 pada Kejuaraan Piala Red Bull MotoGP Rookies di Litar Assen, Belanda, semalam. - IHSAN ZK RACING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelumba remaja negara, Muhammad Hakim Danish Ramli perlu memperbaiki prestasinya dalam perlumbaan 1 selepas melengkapkan saingan di kedudukan ke-11 pada pusingan keempat Kejuaraan Piala Red Bull MotoGP Rookies di Litar Assen, Belanda, malam tadi.

Anak muda berusia 17 tahun itu mencatat masa 26 minit 27.283 saat (s), keciciran +1.495s di belakang pelumba Sepanyol, Brian Uriarte yang melakar masa terpantas 26:25.788s untuk muncul selaku juara perlumbaan 1.

Sahabat baik Hakim Danish, Rico Salmela dari Scotland (+0.112s) berada di kedudukan kedua, manakala pelumba Argentina, Valentin Perrone (+0.570s) di tempat ketiga.

Anak jati Kuala Terengganu itu kini menghuni kedudukan kelima keseluruhan dalam senarai pelumba selepas mengumpul 77 mata dalam kejuaraan yang telahpun memasuki pusingan keempat, musim ini.

Hakim Danish berkata, dia bermula dengan agak baik pada awal perlumbaan dan cuma mengikut rentak pelumba yang berada dalam kelompok hadapan.

“Bagaimanapun, pada pertengahan perlumbaan para pelumba mula saling memintas antara satu sama lain dan sangat sukar untuk saya mengekalkan kedudukan di hadapan.

“Pada pusingan terakhir, saya sedikit terkeluar daripada persaingan dan hanya menamatkan aksi di kedudukan ke-11,” katanya menerusi kiriman video selepas perlumbaan berakhir.

Anak muda yang mendapat bimbingan daripada bekas pelumba Moto2 dan Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin itu berjanji akan memperbaiki persembahannya dalam perlumbaan 2, hari ini.

Dengan dua keputusan podium yang diraihnya dalam perlumbaan 2 di Jerez dan Le Mans, Hakim Danish dilihat sebagai antara pelumba yang mampu menghasilkan keputusan kompetitif, musim ini.

Setakat ini, pelumba tersebut masih kekal konsisten untuk berada dalam kelompok yang menghasilkan mata, namun, dia perlu bekerja lebih keras bagi memperbaiki keputusannya pada setiap perlumbaan 1 yang menyaksikan Hakim Danish bergelut untuk berada dalam kedudukan lima terbaik.

Sejak saingan pembukaan musim di Jerez sehingga yang terkini di Assen, anak muda itu menamatkan perlumbaan 1 antara kedudukan 6 hingga 11, berbanding perlumbaan 2 yang menyaksikan dia sering kali melakar kedudukan lebih baik.

Bagaimanapun, selepas mencatat keputusan podium pada pusingan 1 dan 2, persembahan Hakim Danish dalam pusingan ketiga di Mugello, Itali sedikit merosot selepas menamatkan aksinya di kedudukan ketujuh (perlumbaan 1) dan keenam (perlumbaan 2). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×