TEL AVIV: Ketua dua parti ultranasionalis kerajaan Israel iaitu Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich dari parti Zionisme Agama dan Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben Gvir dari parti Otzma Yehudit mengancam untuk keluar dari Kabinet Benjamin Netanyahu.
Lapor The Times of Israel, kedua-dua mereka berikrar menjatuhkan kerajaan sekiranya cadangan pembebasan tebusan dan perjanjian gencatan senjata diterima pakai oleh pentadbiran Netanyahu.
MAHU TAMAT PERANG DENGAN SEMPURNA
Kedua-dua pemimpin parti mendakwa bahawa perjanjian itu akan menamatkan perang tanpa penyempurnaan matlamat perang untuk memusnahkan Hamas dan berikrar bahawa mereka akan menarik parti yang diterajui keluar daripada gabungan itu jika gencatan senjata diterima.
Kedua-dua parti itu memenangi 14 kerusi apabila bertanding bersama dalam Pilihan Raya Umum 2022 dan amat penting kepada majoriti pentadbiran Netanyahu iaitu gabungan seramai 64 orang.
Bagaimanapun, ketua pembangkang, Yair Lapid pada Sabtu lalu mengulangi janji untuk menyediakan jaringan keselamatan politik kepada Netanyahu untuk memastikan kerajaannya tidak akan jatuh terhadap perjanjian gencatan senjata itu.
Lapid berkata bahawa Israel mesti melakukan perjanjian ini sekarang sebelum tebusan mati di Gaza.
Berbeza dengan tindak balas sayap kanan, Ketua Parti Perpaduan Nasional dan Menteri Kabinet Perang, Benny Gantz menyeru agar Kabinet perang bersidang secepat mungkin untuk merumuskan langkah-langkah ke hadapan kerajaan.
Parti Gantz menyertai gabungan itu beberapa hari selepas serangan Hamas pada 7 Oktober lalu dan mengancam untuk keluar jika Netanyahu tidak mengambil beberapa siri keputusan strategik mengenai perang menjelang 8 Jun ini.
Parti Gantz hanya memegang lapan kerusi dan Netanyahu boleh mengekalkan kuasa tanpanya, tetapi tidak dapat berbuat demikian untuk masa yang lama tanpa parti sayap kanan.
BIDEN DEDAH CADANGAN BAHARU ISRAEL
Dalam ucapan pada malam Jumaat lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mendedahkan bahawa cadangan baharu Israel untuk gencatan senjata dan perjanjian tebusan dikemukakan pada Khamis lalu kepada Hamas melalui Qatar.
Presiden AS membentangkan beberapa elemen utama cadangan itu secara terperinci dan menggesa Hamas untuk me-nerimanya selain kerajaan Israel untuk berdiri di belakangnya.
Biden berkata, tawaran itu akan membawa semua tebusan pulang, memastikan keselamatan Israel, mewujudkan hari yang lebih baik selepas di Gaza tanpa Hamas berkuasa dan menetapkan pentas untuk penyelesaian politik yang menyediakan masa depan yang lebih baik untuk Israel dan Palestin.
NETANYAHU BERIKRAR TIADA GENCATAN SENJATA
Bagaimanapun, Netanyahu berkata, sebelum ini tidak akan ada gencatan senjata kekal di Gaza sehingga ketenteraan dan keupayaan pemerintahan Hamas dimusnahkan.
Seorang pegawai Israel yang tidak mahu namanya disiarkan memberitahu The Times of Israel bahawa syarat Israel untuk menamatkan perang tidak berubah iaitu memusnahkan keupayaan ketenteraan dan awam Hamas, membebaskan tebusan dan memastikan Gaza akan tidak lagi mewakili ancaman kepada Israel.
Cadangan Israel itu, tegas pegawai itu, bagaimanapun akan memastikan bahawa Israel boleh mencapai semua syarat ini sebelum gencatan senjata kekal berkuat kuasa.
Rakan-rakan gabungan ultranasionalis Israel menjelaskan bahawa apa-apa selain kemusnahan Hamas tidak akan diterima oleh mereka.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sejurus selepas berakhirnya mesyuarat Shabbat, Smotrich berkata, dia bercakap dengan Netanyahu dan memberitahunya bahawa dia akan keluar daripada gabungan itu jika cadangan baharu itu diterima.
“Saya menjelaskan kepadanya bahawa saya tidak akan menjadi sebahagian daripada kerajaan yang bersetuju dengan dasar yang dicadangkan dan menamatkan perang tanpa memusnahkan Hamas serta membawa balik semua tebusan,” kata menteri kewangan itu.










