‘Dr. sukan’ India inspirasi wanita global

‘Dr. sukan’ India inspirasi wanita global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

USIA bukan penghalang untuk seorang pakar sakit puan (obstetrik dan ginekologi) di India, Dr. Bhagwati Oza, 87, mencapai impian dan memulakan sesuatu yang baharu dalam hidup.

Berasal dari daerah Rajkot, wanita ini berani mencabar diri berkecimpung dalam aktiviti lasak, tidak seperti mereka yang seusianya.

Penglibatannya bermula seawal usia 40 tahun apabila mengikuti latihan mendaki gunung.

Pada usianya 50 tahun, Bhagwati berkecimpung dengan industri penerbangan dan memperoleh lesen juruterbang di Gujarat Flying Club, setelah menyelesaikan 150 jam penerbangan.

Keghairahan pada sukan dan aktiviti lasak bukan sekadar hobi, sebaliknya sehingga menyertai pelbagai pertandingan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa, di samping memenangi lebih 200 pingat.

Penyertaan Bhagwati dalam sukan kompetitif seperti olahraga, berbasikal dan renang di peringkat akhir kehidupan iaitu 65 tahun dianggap aneh, kerana ia adalah usia persaraan bagi seorang atlet sukan.

Walaupun menjangkau 90 tahun, Bhagwati masih aktif mengambil bahagian dalam pertandingan, selain masih berlari lima kilometer setiap hari diikuti berbasikal sejauh 15 kilometer.

Pemakanan faktor stamina kekal cergas
Menerusi wawancara di SpeakBindas.com, Bhagwati menceritakan zaman kanak-kanak dan remajanya hanya sibuk dengan pelajaran serta profesion sebagai pengamal perubatan sehingga terpaksa meminggirkan minat dalam sukan.

“Sewaktu kecil saya melihat datuk bermain tenis setiap petang bersama putera Morbi. Sejak itu saya suka bermain tenis dan turut mendapat peluang menyertai akademi di Vadodara.

“Bagaimanapun, jurulatih, Sunil Sir mengesan potensi saya dalam olahraga ketika berlari di gelanggang,” katanya.

Dalam masa sama, Bhagwati tidak lokek berkongsi rahsia memiliki stamina yang cergas meskipun di usia emas.

Wanita yang memiliki personaliti versatil ini menegaskan sangat menitikberatkan pemakanan seharian yang menjadi amalan keluarga sejak dahulu.

“Kami sekeluarga tidak tergoda dengan makanan di luar dan penghargaan ini perlu diberikan kepada ibu kerana air tangannya menjadikan saya bertenaga dan memiliki stamina seperti sekarang,” katanya.

Digelar ‘Dr. Sukan’
Bhagwati memulakan rutin harian seawal pukul 4.30 pagi dengan memperuntukkan satu jam setengah untuk bersukan manakala tidur sekitar pukul 8.30 malam.

Katanya, untuk berjaya, seseorang perlu berkorban termasuk dirinya yang mengorbankan kehidupan sosial di sebelah malam.

Namun, pengorbanan wanita ini berbaloi kerana pencapaiannya kini menjadi inspirasi ramai wanita sehingga mendapat pelbagai pengiktirafan dan digelar ‘Dr. sukan’.

Pada 2016, Bhagwati meraih Anugerah Sukan dan Pengembaraan Negara oleh Presiden India ketika itu, Pranab Mukherjee di samping

Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat oleh Kementerian Sukan Gujarat, tahun berikutnya.

Anugerah Sukan dan Pengembaraan Negara dianggap setaraf dengan Anugerah Padma Shri, penghargaan awam keempat tertinggi di India.

“Ia merupakan detik membanggakan kerana dapat membuktikan kemampuan sendiri.

“Saya sentiasa ingin menyebarkan mesej hidup sihat dan bahagia kepada wanita.

“Saya percaya kehidupan sihat di usia ini adalah kerana diet seimbang dan kerap bersenam, serta paling penting melakukan apa yang kita mahu tanpa mempedulikan orang lain,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×