Bahana perkahwinan atas kertas

Bahana perkahwinan atas kertas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TINGGAL sebumbung, tetapi tak tidur sekatil. Dengan kata mudahnya tidur berasingan. 

Pasangan yang mengalami konflik kebiasaannya akan tidur berasingan sebagai tanda protes dan ego tinggi di antara keduanya. 

Masalah rumah tangga tersebut disebabkan banyak faktor seperti komunikasi, kewangan dan seksual. 

Akibat daripada itu, salah seorang pasangan, akan merajuk dan tidak memberi perhatian antara satu sama lain. 

Bagi pasangan normal, ia tidak berlaku lama. Sehari dua, bila yang merajuk berjaya dipujuk. 

Situasi tinggal sebumbung, tapi tidak tidur sekatil dengan suami itu turut berlaku kepada Rania, (bukan nama sebenar). 

Bukan sehari dua, tetapi hampir tujuh tahun. Sepanjang tempoh itu jugalah, tugasnya sebagai isteri terhenti sama sekali. 

“Perkahwinan kami selama ini hanya di atas kertas,” tulisnya dalam kiriman e-mel kepada saya baru-baru ini. 

Rania mengakui terperangkap dalam perkahwinan yang hambar selepas suami berterus-terang berkahwin lagi. 

Mengimbas kisah perkenalan hingga membawa ke jenjang pelamin kata Rania, tiga tahun mereka menyulam cinta di universiti. 

Berjanji sehidup semati, susah senang bersama, juga setia hingga ke hujung nyawa. 

Pun begitu, siapalah dirinya untuk menidakkan takdir apabila dikhianati suami sendiri. 

“Saya seolah-olah dikhianati suami sendiri. Saya bertahan sehingga ke hari ini kerana anak-anak. 

“Anak-anak sangat rapat dengan ayah mereka. Kalau kami bercerai, bagaimana anak-anak membesar tanpa seorang bapa.

“Amir bukan sahaja suami, tetapi juga bapa yang baik. Namun ia tidak pernah mengubatkan perasaan kecewa dan sedih saya,” katanya lagi. 

Berkongsi cerita tulis Rania, tujuh tahun pertama perkahwinan, rumah tangga yang dibina cukup bahagia. 

Amir cukup menyayangi dan melindungi Rania bagai menatang minyak yang penuh. 

Dalam tempoh itu pasangan ini dikurniakan sepasang anak kembar yang kini meningkat remaja. Anak sulung berusia 17 tahun, yang bongsu 15 tahun. 

Dalam e-mel itu lagi, segala-galanya bermula apabila dia dikejutkan dengan pengakuan Amir berkahwin lagi. 

Sangkanya, suami sengaja mahu mengusik. Ini kerana sepanjang berkahwin hubungan mereka baik-baik sahaja dan tiada tanda-tanda dia curang. 

Selepas tamat waktu kerja, suami pulang ke rumah dan menghabiskan masa bersama keluarga. 

Tulisnya, Amir mengakui telah hampir setahun berkahwin secara diam-diam di Thailand. 

Amir memutuskan untuk memberitahunya selepas tidak sanggup hidup dalam pembohongan. Ini kerana dia terlalu sayangkannya. 

“Waktu mendengar pengakuan suami, hanya Allah yang tahu perasaan saya ketika itu. Jantung saya berdegup kencang,” tulisnya. 

Dalam e-melnya itu tulis Riana, berulang kali Amir menyatakan perkahwinan keduanya itu tidak mengubah apa-apa dalam hubungan mereka. 

Kasih dan sayangnya tetap pada Riana, dan berjanji tidak akan mensia-siakan dia dan anak-anak. 

Menurut Riana, seminggu dia mengurungkan diri dalam bilik memutuskan hubungan dengan dunia luar. Mengambil cuti kecemasan. 

Anak-anak pun dia tidak peduli, apatah lagi suami. 

“Sepanjang tempoh itu bermacam-macam bermain dalam fikiran. Cuba mencari di mana silap saya. 

“Adakah saya mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri sehingga membuatkan suami beralih kepada wanita lain.  Namun saya gagal menemui jawapan,” tulisnya. 

Dalam tempoh itu, suami tidak putus asa memujuk. Namun rajuk dihati, semakin memburuk. Jangankan suara, memandang wajah jauh sekali. 

Enggan terlalu larut dalam kesedihan, Rania akhirnya keluar dan mencari kekuatan untuk bersemuka dengan Amir. 

Ketika itulah dia menyatakan hasrat untuk berpisah kerana tidak dapat menerima sama sekali tindakan Amir berkahwin lain. 

Amir tidak setuju kerana katanya sayangkan perkahwinan yang dibina. 

Tulis Rania, sejak peristiwa itu hubungannya dengan Amir tidak pernah pulih. Mereka jarang bertegur sapa. Dia sendiri cuba mengelak bertemu dengan Amir. 

Dia rasa marah, sedih, benci sejak mendapat tahu suami berkahwin lagi, tidak pernah berkurangan. 

Sepanjang menjalani kehidupan berumahtangga, mereka bercakap hal-hal yang penting sahaja. 

Suami banyak kali mengajaknya berborak, tetapi dia memang tidak berminat. Di depan anak-anak dan ahli keluarga mereka berlagak bahagia. 

Seolah-olah hubungan mereka suami isteri baik-baik sahaja. Keadaan tersebut berterusan sehingga ke hari ini. Rania dengan hidupnya. 

Begitu juga Amir yang sibuk dengan pekerjaan masing-masing. 

Kata Rania, secara batinnya, mereka sudah tidak ada apa-apa hubungan. 

Hanya terikat dengan lafaz nikah yang dikhianati oleh Amir ketika mengahwini wanita lain secara diam-diam tujuh tahun lalu. 

“InsyaAllah dalam tempoh terdekat saya akan menuntut cerai di mahkamah syariah. Sejujurnya saya tidak bahagia. Bukan tidak mencuba, tetapi memang saya sudah tawar hati dengannya. 

“Anak-anak juga semakin dewasa. Saya yakin mereka akan faham,” tulisnya lagi. 

Akui Rania lagi, tindakannya untuk sungguh-sungguh menuntut cerai didorong selepas dia bertemu seorang lelaki yang berjaya mencuri hatinya. 

Dalam e-mel tersebut juga, dia mengakui berhak dan mahukan kehidupan bahagia seperti orang lain. 

Sesungguhnya salah satu nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT dalam hidup di dunia ini ialah nikmat perkahwinan.

Namun, memastikan sebuah perkahwinan itu sejahtera memerlukan komitmen tinggi dan kerjasama daripada kedua-dua suami dan isteri. 

Jika sebaliknya, rumah tangga akan bergolak dan berakhir dengan perpisahan. 

Firman Allah SWT bermaksud: Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteriisteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antara kasih dan sayang. Sesungguhnya, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir. (Ar-Rum: 21)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×