HARGA diesel RM3.35 seliter antara topik paling hangat diperkatakan minggu ini. Biarpun harga itu dikatakan masih lagi antara terendah berbanding negara lain di Asia Tenggara (kecuali Brunei Darussalam), ramai yang enggan menerimanya dengan hati terbuka.
Jaminan kononnya kenaikan itu tidak akan meningkatkan harga barangan pengguna lain juga tidak ‘laku’, maklumlah dalam kalangan peniaga, bila minyak naik, pembekal pun segera naikkan harga sebab kos pengangkutan meningkat.
Tidak ramai yang sanggup menyerap kos apatah lagi dalam kalangan peniaga kecil. Memang matematiknya begitu. Pusing ikut mana pun, peniaga dan pengguna pasti terpalit dengan bebannya.
Paling terasa kalau ia membabitkan bahan paling asas dalam hidup iaitu makanan, seperti ayam dan sayur.
Banyak cadangan supaya pengguna menggunakan kuasa memboikot peniaga yang suka menaikkan harga sesuka hati.
Namun, setakat mana lagi nak memboikot kalau pilihan terhad. Di bandar, boleh juga kita pilih-pilih, tetapi di kampung, situasinya tidak sama.
Begitupun antara kaedah yang boleh kita fikirkan bersama untuk berjimat dalam perbelanjaan keluarga ialah mencatu makanan. Amalan ini bukanlah pelik, luar biasa atau sebab berkira.
Sebaliknya bagi memastikan setiap ahli keluarga dapat makan dan cukup makan. Inilah yang lebih mustahak.
Orang dulu, bila ingin memasak mesti kena kira. Kalau anak 10 orang, sekali masak mungkin 20 ketul ayam sahaja digunakan. Cara ini turut mengelakkan pembaziran.
Seronok sebenarnya bila sebelum makan si ibu ingatkan anaknya, ‘ambil ayam seketul seorang ya’. Secara tidak langsung ia akan mendidik untuk beringat dengan orang belakang.
Lagipun bab makan ini, memang perlu berpada-pada sebab ramai rakyat Malaysia dapat penyakit akibat terlebih makan dan makan tidak seimbang.
Hasilnya, negara masih berperang dengan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan tekanan darah tinggi.
Begitupun yang menjadi kegusaran ialah bila harga barangan pengguna naik, pengguna akan memilih makanan tidak sihat tetapi tinggi kalori seperti burger dan makanan segera.
Tanpa ilmu pemakanan dan gaya hidup sihat, lama-kelamaan ia boleh merosakkan sistem tubuh untuk berfungsi secara normal.
Daripada satu penyakit, ia boleh bertambah dan berangkai-rangkai pula.
Nilailah juga kembali bajet keluarga. Renungkan ke mana wang, kita habiskan. Mana-mana yang tidak perlu, ketepikan dahulu.
Hari ini, premis makanan masih dipenuhi keluarga daripada pagi hingga ke malam. Saiz pesanan semua besar-besar walaupun yang makan hanya untuk tiga budak kecil. Penyudahnya tidak habis, membazir dan dibuang ke dalam tong sampah.
Bercatulah, dalam situasi kita yang tidak ada banyak pilihan.
-Nor Afzan Mohamad Yusof Pengarang Rencana, Utusan Malaysia










