5 juta dos vaksin cegah penularan wabak H5N1 - Utusan Malaysia

5 juta dos vaksin cegah penularan wabak H5N1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEXAS: Hampir lima juta dos vaksin selesema burung akan digunakan pada manusia berikutan penularan wabak H5N1 yang menjangkiti lembu tenusu di Amerika Syarikat (AS).

Sejak wabak bermula, sebanyak tiga kes positif selesema burung disahkan membabitkan pekerja ladang tenusu di Texas dan Michigan, yang dibimbangi pakar virus boleh bermutasi dan mudah menular kepada manusia.

Susulan itu, pembuat vaksin, CSL Seqirus mengumumkan minggu lalu, pihaknya ditugaskan untuk membuat dos tambahan vaksin selesema di kilang North Carolina.

“Ia menggunakan kaedah pengeluaran yang berskala tinggi dan kini kedudukannya menyediakan sehingga 150 juta dos vaksin influenza untuk menyokong tindak balas wabak dalam tempoh enam bulan selepas pengisytiharan pandemik,” kata syarikat itu dalam kenyataan.

Pengarah Eksekutif Global untuk Pandemik di CSL Seqirus, Marc Lacey berkata, pihaknya memantau teliti kerana menyedari ancaman virus influenza seperti H5N1 dan mengambil serius peranannya.

“Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS (CDC) mengekalkan risiko kepada kesihatan awam pada tahap rendah.

“Kami mengambil serius peranan kami dalam kesiapsiagaan dan usaha bersama kerajaan serta rakan kongsi kesihatan awam,” katanya.

Dos vaksin baharu menggabungkan antigen yang menyasarkan bahagian H5 virus H5N1 dengan ramuan yang direka untuk meningkatkan tindak balas imun.

Walaupun pengeluaran dos vaksin selesema baharu ini ditetapkan selesai selewat-lewatnya pada musim panas depan, ia dijangka sedia digunakan serta-merta.

Bagaimanapun, setakat ini tidak jelas golongan yang diberikan keutamaan untuk mendapatkan suntikan pertama sebaik vaksin itu dilancarkan kepada umum.

Walaupun CDC mengatakan risiko kepada orang awam rendah, agensi itu memberi amaran pekerja ladang tenusu berisiko lebih tinggi untuk dijangkiti dan menggesa industri terbabit mengambil langkah berjaga-jaga.- AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN