UMT sedia jadi pakar rujuk industri ekonomi biru

UMT sedia jadi pakar rujuk industri ekonomi biru

ZAMRI Ibrahim (tiga dari kiri) bersama rakan-rakan media dalam program ramah mesra bersama media di Putrajaya. - UTUSAN/MOHD HUSNI MOHD NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bersedia menjadi pakar rujuk dan pemudah cara industri bagi membangunkan ekonomi biru (Blue Economy) di negara ini.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Prof Ts Dr. Zamri Ibrahim berkata, kesediaan itu disandarkan atas kapasiti UMT sebagai universiti peneraju dalam bidang sains marin dan sumber akuatik.

Beliau yang kini memangku tugas Naib Canselor UMT berkata, pihak industri khususnya boleh memanfaatkan kepakaran dimiliki UMT itu sekali gus boleh memberi sumbangan berkesan kepada pembangunan dan keselamatan makanan negara.

“Banyak aktiviti marin dan akuatik yang ada saling hubungan dengan ekonomi biru seperti perkapalan, pelabuhan, produk makanan berasaskan marin dan bidang tenaga boleh diperbaharui dari laut.

“UMT bersedia menyumbang kepakaran itu. Justeru, betapa pentingnya untuk kita menjaga laut kerana ia mempunyai hubungan industri terutamanya ekonomi biru.

“Kita mahu jadi juara dalam memperkasakan ekonomi biru di negara ini,” katanya ketika berucap  pada majlis ramah mesra UMT bersama rakan media Kuala Lumpur, di sini baru-baru ini.

Katanya, pihaknya juga akan mengumpulkan artikel-artikel dan penyelidikan terbaik daripada pakar-pakar, penyelidik dan tenaga pengajar UMT khususnya berkaitan kepentingan ekonomi biru.

Zamri berkata, bagi merancakkan usaha itu, UMT menubuhkan Pusat Ekonomi Biru atau Blue Economy Advancement Centre (UMT-BEACON) bagi menyokong inisiatif negara dalam membangunkan Ekonomi Biru.

Serentak itu juga, katanya, UMT juga akan menganjurkan Sultan Mizan Global Forum on Blue Economy 2024: Sustainability Harnessing The Philippines Potential of Oceans for Prosperity, Equity and Environmental Stewarship pada akhir tahun ini.

“Penganjuran forum ini adalah sebagai platform pertukaran idea dan pendapat mengenai penyelidikan ekonomi biru yang akan menjadi pemangkin kepada kecekapan dan produktiviti industri terutama dalam bidang marin.

“Forum julung kali di Malaysia itu akan menghimpunkan pakar-pakar terkemuka dalam pelbagai bidang marin dan akuatik sekali gus berkongsi matlamat bagi mewujudkan agenda ekonomi biru,” katanya.

Katanya, forum itu akan berlangsung pada November depan di Kuala Lumpur dan bakal disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang juga Tuanku Canselor UMT.

Mengikut Bank Dunia, ekonomi biru merangkumi pelbagai aktiviti seperti industri perikanan, tenaga boleh diperbaharui, pengangkutan maritim, pengurusan sisa, pelancongan dan perubahan iklim.

Justeru, ekonomi biru bermaksud penggunaan sumber laut dengan mapan untuk pertumbuhan ekonomi, peningkatan taraf hidup dan peningkatan pekerjaan, di samping menjaga kemakmuran dan kesihatan ekosistem laut.

Konsep ekonomi biru berkait rapat dengan ekonomi hijau yang ditakrifkan sebagai ekonomi bermatlamat untuk mengurangkan segala risiko ke atas alam sekitar dan juga mencapai pembangunan yang mapan tanpa mengganggu gugat persekitaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN