RHB WCE Century Ride 'pikat' lebih 3,000 peserta seluruh dunia

RHB WCE Century Ride ‘pikat’ lebih 3,000 peserta seluruh dunia

SEKITAR Majlis perasmian RHB WCE Century Ride 2024, bersama barisan penaja yang berlangsung pada Januari lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) bakal meriah esok apabila seramai 3,038 peserta sudah mengesahkan penyertaan berkayuh di lebuhraya itu menerusi penganjuran kali pertama RHB WCE Century Ride.

Acara berbasikal yang kali pertama dianjurkan sempena Tahun Melawat Perak 2024 itu menawarkan pelbagai kategori peringkat umur dengan tiga pilihan utama cabaran ditawarkan iaitu 160 kilometer(km), 90km dan 28km di Lebuhraya WCE yang akan bermula dan berakhir di Plaza Tol Lekir.

Menariknya, acara berbasikal yang dianjurkan oleh Kumpulan Perbankan RHB dengan kerjasama WCE itu berjaya menarik kehadiran peserta antarabangsa dari 19 negara iaitu Argentina, Australia, Brunei,
Kemboja, Kanada, China, Denmark, Hong Kong, Indonesia, Itali, Jepun, Korea, Belanda, Norway, Filipina, Rusia, Singapura, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif WCE Holdings Berhad dan Pengarah Urusan West Coast Expressway Sdn Bhd, Lyndon Alfred Felix berkata, meskipun ia pertama kali dianjurkan di WCE, beliau memberi jaminan acara itu akan berlangsung dengan meriah serta segala keperluan perlumbaan akan disediakan.

“Matlamat kami adalah untuk menyediakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan untuk semua peserta.

“Kami mensasarkan agar RHB WCE Century Ride menjadi acara tetap dalam kalendar berbasikal di Malaysia. Acara ini juga bertujuan untuk mempromosikan Lebuhraya Pantai Barat, menggalakkan pelaburan dan pembangunan di sekitarnya.

“Peserta boleh menjangkakan acara yang teratur dengan papan tanda laluan yang jelas, stesen hidrasi yang mencukupi, perkhidmatan ambulans bersiap sedia pada bila-bila masa sepanjang laluan.

“WCE Century Ride juga melantik penganjur acara yang sama seperti LEKAS Ride, yang mempunyai rekod cemerlang dalam menganjurkan acara berbasikal selama beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.

Menurut Alfred Felix, setiap peserta dinasihatkan mengambil beberapa langkah tertentu untuk memastikan penyertaan mereka di RHB WCE Century Ride berjalan lancar tanpa sebarang masalah, antaranya memeriksa basikal masing-masing sebelum bermulanya saingan.

“Setiap peserta dinasihatkan untuk merancang perjalanan, berehat secukupnya dan tiba awal untuk memudahkan urusan pendaftaran.

“Acara akan bermula dengan pelepasan pada jam 6:45 pagi di Plaza Tol Lekir. Banyak aktiviti akan berlangsung pada hari berkenaan termasuk majlis penyampaian anugerah untuk kategori kompetitif.

“Selain itu terdapat jualan makanan yang akan menawarkan pelbagai pilihan dan peserta akan menerima baucar makanan untuk menikmati hidangan selepas kayuhan itu,” katanya.

Perlumbaan berbasikal yang dibawakan oleh Kumpulan Perbankan RHB dengan kerjasama WCE itu menawarkan hadiah wang tunai kepada tiga pemenang teratas bagi cabaran 160km Century Ride dan 90km Ride.

Penganjur juga memberi jaminan langkah-langkah keselamatan amat dititikberatkan termasuk sokongan kakitangan perubatan, penyediaan marshal yang mencukupi untuk mengawal lalu lintas dan acara itu juga mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Kerja Raya, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Maklumat lanjut berhubung RHB WCE Century Ride boleh didapati di laman web www.wcecenturyride.com, di Facebook CWE Century Ride serta di Instagram @wcecenturyride.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya