TEHRAN: Kerajaan Iran memutuskan pada 28 Jun ini sebagai tarikh pemilihan untuk menentukan Presiden Iran baharu.
Hal ini ditentukan selepas ketua-ketua cabang kuasa Iran mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai kekosongan jawatan berkenaan berikutan Presiden Iran, Ebrahim Raisi maut dalam nahas helikopter kelmarin.
Menurut agensi berita kerajaan Iran, IRNA, pendaftaran calon akan berlangsung dari 30 Mei hingga 3 Jun dan tempoh kempen pilihan raya akan berlangsung dari 12 hingga 27 Jun ini.
Perkara 131 Perlembagaan Republik Islam Iran mewajibkan pembentukan sebuah majlis untuk menguruskan hal ehwal eksekutif negara untuk tempoh 50 hari dan persediaan untuk pilihan raya presiden.
Ini susulan kematian Ebrahim apabila helikopter yang dinaikinya untuk pulang dari upacara membuka empangan di sempadan Iran dan Azerbaijan kelmarin, terhempas di Varzaqan, barat laut Iran.
Menteri Luar, Hossein Amirabdollahian dan beberapa pegawai kanan wilayah juga berada di atas helikopter itu dan semuanya mati syahid.
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertafakur seminit bagi memperingati dan tanda hormat terhadap Ebrahim, ketika sesi persidangan Majlis Keselamatan PBB (UNSC) semalam.
Pedro Comissario Afonso, Duta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Mozambique, yang memegang jawatan presiden bergilir UNSC pada bulan Mei lalu, meminta ahli untuk berdiri sebagai tanda hormat kepada Ebrahim dan mereka yang turut terkorban dalam nahas helikopter terbabit.
Selain itu, pemimpin dunia turut mengucapkan takziah kepada Iran atas kematian Ebrahim termasuk
Presiden China, Xi Jinping berkata rakyat China kehilangan kawan baik, kata jurucakap Kementerian Luar, Wang Wenbin pada sidang akhbar.
Kesatuan Eropah (EU) menyatakan takziah yang tulus.
Presiden Majlis Kesatuan Eropah, Charles Michel, dalam satu kenyataan berkata, ingatan pihaknya kepada keluarga.
Jiran negara Teluk Iran, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Kuwait, Qatar dan Oman turut mengucapkan takziah.
Setiausaha agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang dianggotai enam negara, Jassem al-Budaiwi, menyebutnya sebagai kemalangan tragis.
Presiden Russia, Vladimir Putin, memuji Ebrahim sebagai ahli politik yang cemerlang dan rakan sejati Russia dalam surat kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Perdana Menteri India, Narendra Modi, berkata beliau sangat sedih dan terkejut dengan kematian tragi’ Ebrahim, sambil menambah bahawa India berdiri bersama Iran dalam masa kesedihan ini.
Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida dalam satu kenyataan berkata beliau ‘sangat sedih’ dengan pemergian Ebrahim sambil mengimbas kembali ‘perbincangan jujur’ dengan Ebrahim dan ‘hubungan mesra’ kedua-dua negara.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, mengumumkan hari berkabung kebangsaan. Terdahulu, beliau menghantar ucapan takziah yang tulus kepada rakyat dan kerajaan Iran, dalam mesej di X.
Pejuang Hamas, dalam satu kenyataan, meratapi Ebrahim sebagai penyokong terhormat kumpulan pejuang Palestin itu yang kini berperang dengan Israel di Gaza, dan memuji ‘sokongannya untuk perjuangan Palestin.










