JAKARTA: Menantu Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi), Bobby Nasution akan bertanding merebut jawatan Gabenor Sumatera Utara mewakili Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra).
Parti Gerindra dipimpin oleh bakal Presiden Indonesia baharu, Prabowo Subianto, lapor Channel News Asia.
Bobby, 32, secara rasmi menyertai Gerindra Isnin lalu, selepas meninggalkan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) pada 2023.
Beliau yang masih berkhidmat sebagai Datuk Bandar Medan berkata, keputusan untuk bertanding dalam pilihan raya itu mendapat restu Jokowi dan parti tersebut.
“Setakat hari ini, saya sudah menjadi ahli parti Gerindra. Alhamdulillah, pendaftaran ini diterima segera oleh Parti Gerindra Sumatera Utara,” katanya ketika membuat pengumuman di pejabat Gerindra.
Sementara itu, Penganalisis Politik di Institut Penyelidikan Trias Politika Strategis, Agung Baskoro percaya keahlian Bobby dalam parti itu akan memberikan kelebihan pada Pilihan Raya Gabenor akan datang.
Hal ini, katanya, disebabkan statusnya sebagai menantu bekas Presiden negara.
“Pesaingnya (Pilihan Raya Gabenor) sepatutnya bimbang kerana mereka akan menentang ‘dua istana’ iaitu Istana Merdeka dan Istana Hambalang.
“Istilah dua istana ini merujuk kepada Istana Presiden negara sekarang dan kediaman Prabowo di daerah Hambalang sebagai simbol sokongan Presiden yang menamatkan perkhidmatan dan Presiden masa hadapan,” jelasnya.
Sumatera Utara adalah wilayah penting bagi politik nasional Indonesia kerana mempunyai jumlah pengundi terbesar iaitu melebihi 10 juta serta lokasi pertumbuhan ekonomi terpantas di luar Jawa.
Penglibatan Bobby sebagai ahli politik masih mentah kerana baru berkecimpung dalam arena politik pada 2020. Sebelum ini, beliau terkenal sebagai ahli perniagaan.










