Kaya, tapi tidak bahagia

Kaya, tapi tidak bahagia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMILIKI harta melimpah merupakan keinginan setiap orang. Bagi yang terlalu fokus dengan kerja dalam usaha untuk membina kerjaya dan kekayaan, sedikit sebanyak sikapnya itu akan memberi kesan kepada orang sekeliling, terutama kepada pasangan.

Mungkin ada pasangan yang tidak kisah dan sentiasa memberi sokongan, namun berapa ramai pula yang terpaksa memendam rasa akibat kurangnya perhatian.

Minggu ini saya kongsikan kisah rumahtangga, Bainun dan Razif (bukan nama sebenar) yang hampir lemas dalam ujian kekayaan.

Bertemu empat mata dengan Bainun, saya merasakan dia cukup segala-galanya.

Menerbitkan rasa iri awalnya bertukar pula menjadi simpati. Perjalanan hidupnya tidak seindah digambarkan.

Dalam pertemuan dengannya baru-baru ini, akui wanita berusia awal 30-an itu, harta yang banyak belum tentu menjadi sumber kebahagiaan sejati.

Ini kerana ketika bekerja terlalu keras, seseorang tidak mempunyai banyak masa untuk ‘membelanjakan’
kekayaan itu kepada perkara yang mereka suka atau membahagiakan diri mahupun orang lain.

“Sepanjang hampir 12 tahun hidup berumahtangga, suami menggadaikan hampir seluruh masanya bekerja dan sibuk ke sana sini menguruskan harta dan perniagaan.

“Wang itu sendiri tidak mampu membuatkan kami bahagia sepenuhnya, sebaliknya sengsara,” ujarnya memulakan perbualan .

Bainun berkahwin dengan suami atas dasar suka sama suka.

Pernah merasai kehidupan penuh berliku di awal perkahwinaan, begitu juga dengan nikmat kesenangan.

Pun begitu dia menganggap semua itu adalah ujian Allah untuk melihat sejauh mana kesabaran mereka untuk menempuhnya.

Berkongsi kisah rumah tangganya, kata Bainun di awal perkahwinan mereka hidup serba kekurangan, namun cukup membahagiakan.

Tidak semewah orang lain, namun bahagianya Allah sahaja yang tahu.

Menambahkan lagi kebahagiaan, apabila mereka dikurniakan sepasang anak kembar selepas setahun
berumahtangga.

Ketika itu sebagai ketua keluarga, Razif tidak betah duduk diam. Baginya bertambah ahli keluarga, bermakna komitmen semakin tinggi.

“Suami mula melakukan dua pekerjaan dalam satu masa. Sebelah siang bekerja di bengkel sebagai mekanik, sebelah malam pula membawa grab.

“Alhamdulilah, rezeki kami sekeluarga tidak pernah putus. Walau tidak semewah orang lain,
ia sudah mencukupi bagi keluarga kecil kami,” imbas Bainun.

Akui Bainun, suami seorang yang bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan dilakukan.

Sebelum mendirikan rumah tangga lagi, suami sememangnya jenis lelaki yang meletakkan kerja
di tempat teratas, dalam erti kata lain gila kerja.

Jika hujung minggu semua masa dihabiskan bersama keluarga, tetapi tidak bagi si suami. Dia akan melakukan kerja lebih masa di hujung minggu.

Kemuncak pergolakan rumahtangga mereka bermula selepas penghijrahan profesion suami daripada mekanik kepada ahli perniagaan dalam bidang hartanah.

Pertemuan dengan rakan ketika di sekolah rendah mengubah segala-galanya. Bukan sahaja kehidupan
mereka, bahkan sikap suami yang lebih mengejar kekayaan berbanding kebahagiaan.

Bercerita lanjut kata Bainun, awalnya suami tidak pandai dalam selok-belok perniagaan. Namun dengan izin Allah, berkat kesungguhan dan kerja kerasnya, perniagaan diceburi ‘menjadi’ dalam masa tak sampai setahun.

Tahun pertama tidak menjadi masalah kepada Bainun. Mereka sekeluarga sudah ada segalanya. Rumah, kenderaan dan wang ringgit yang tidak habis.

Hendak beli apa, makan apa, bercuti ke mana sahaja segala-galanya tidak menjadi masalah. Namun masuk tahun ketiga, dia mulai makan hati.

Tambahan pula anak-anak semakin membesar dan memerlukan perhatian seorang bapa.

“Sejak perniagaan suami semakin maju, dia sudah tidak banyak masa dengan saya dan anak-anak. Segala urusan anak-anak dan rumahtangga diserahkan kepada saya sepenuhnya.

“Bukan saya tidak menyuarakan perasaan dan hati secara terbuka, namun ibarat mencurah air ke daun keladi, suami tetap tidak berubah,” ujarnya.

Menyambung cerita kata Bainun, dia dan suami bukan dilahirkan di atas dulang emas.

Hidup mereka sejak kecil umpama hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan
petang.

Kemiskinan itulah yang menjadi pencetus semangat kepada suami, mengubahkan kehidupan mereka sekeluarga.

Suami enggan diri dan anak-anak mewarisi kemiskinan datuk nenek mereka.

Akui Bainun, obses dengan duit dan mahu menjadi kaya antara sebab suami tidak berpaling sebaik kawan lamanya menawarkan peluang tersebut.

Kemuncak kepada pergolakan rumahtangga mereka apabila suami sudah jarang berada di rumah.

“Keluar pagi pulang malam. Saya bagai sudah tidak kenal suami sendiri. Sejujurnya saya rindukan waktu kami tidak punya apa-apa dahulu,” katanya.

Kata Bainun, suami lebih menumpukan perhatian kepada prestasi perniagaannya yang melonjak-lonjak daripada memberi perhatian kepada isteri dan anak-anak.

“Ya, saya ada segala-galanyanya, namun kebahagiaan sebenar belum ditemui,” ujarnya perlahan bernada sedih.

Sambungnya, mereka sudah ada segala harta dan wang ringgit, namun suami tetap sibuk mencari-cari apa yang kurang.

Kata Bainun, dia kurang bersetuju kalau kebahagiaan diukur dalam bentuk kekayaan. Ini kerana ketika sudah menjadi kaya, masih ada keinginan lagi yang dicari.

Sesungguhnya, manusia sentiasa diuji Allah sepanjang hidup mereka. Kadang-kala ujian datang dengan kesusahan dan kadang-kala dengan kesenangan.

Dengan semua ujian itu , Allah mahu melihat siapa yang bersyukur, kufur dan tahu mengatur tutur.

Sebagaimana Firman Allah SWT bermaksud: Setiap diri akan merasai mati, dan kami uji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan, dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan. (Al-Anbiya:21-35)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN