JDT mudah ratah KL City

JDT mudah ratah KL City

PENYERANG Johor Darul Tazim, Bergson berjaya mengawal bola meskipun dicabar pemain KL City pada perlawanan Liga Super 2024 di Stadium Cheras di sini hari ini..-UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) kembali berada di puncak Liga Super selepas menewaskan Kuala Lumpur (KL) City 5-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Terengganu FC (TFC) hanya berada di kedudukan teratas kurang 24 jam selepas menewaskan Kelantan Darul Naim (KDN) 3-0, semalam.

Dalam perlawanan itu, JDT yang lebih mendominasi permainan terpaksa menunggu hingga minit ke-43 untuk membuka tirai jaringan menerusi ledakan Fernando Forestieri. Gol tersebut pada awalnya dibatalkan kerana ofsaid, namun ia disahkan selepas pengadil, Nazmi Nasaruddin menyemak video bantuan pengadil (VAR).

Juan Muniz kemudian menggandakan kelebihan buat Harimau Selatan menerusi sepakan percuma menarik pada masa kecederaan (minit 45+5) yang menewaskan penjaga gol KL City, Azri Ghani buat kali kedua.

Drama penghujung babak pertama berterusan apabila KL City diberikan sepakan penalti (minit 45+8) selepas pengadil meneliti VAR dan peluang itu digunakan sepenuhnya kapten City Boys, Paulo Josue untuk merapatkan kedudukan.

Kedudukan itu bagaimanapun berubah lagi dengan Forestieri meledak gol kedua peribadi pada minit ke-61 sebelum Muniz menambah jaringan keempat Harimau Selatan, 10 minit kemudian. Pemain gantian, Syahmi Safari melengkapkan hari gemilang skuad kendalian Hector Bidoglio apabila meledak gol pada minit ke-88.

Kemenangan ini menyaksikan JDT mengumpul sembilan mata selepas tiga perlawanan dengan mereka turut menewaskan Negeri Sembilan 3-1 dan diberi kemenangan percuma dalam aksi Piala Sumbangsih sebelum ini susulan penarikan diri Selangor.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya