IFRC bantu penduduk Afghanistan terjejas akibat banjir

IFRC bantu penduduk Afghanistan terjejas akibat banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL: Persekutuan Antarabangsa Persatuan-Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) berusaha meningkatkan tindakan kecemasan untuk menangani banjir kilat besar yang mengorbankan ratusan nyawa di Afghanistan.

Hujan lebat luar biasa dan bencana banjir memusnahkan beribu-ribu rumah dan ternakan penduduk yang memburukkan lagi situasi kemanusiaan di negara itu.

Lebih separuh daripada kawasan Afghanistan melibatkan 25 daripada 34 wilayahnya terjejas akibat bencana itu.

Wilayah Baghlan sahaja merekodkan lebih 200 kematian, manakala, ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal selepas rumah mereka dihanyutkan oleh banjir kilat.

Sukarelawan Persatuan Bulan Sabit Merah Afghanistan adalah antara responden pertama di tempat kejadian yang terlibat dalam usaha menyelamatkan mangsa lelaki, wanita dan kanak-kanak ke lokasi lebih selamat.

Mereka juga bertanggungjawab menyediakan makanan panas dan kelengkapan tidur kepada individu yang menyelamatkan diri daripada banjir.

IFRC bekerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Afghanistan menggerakkan barangan bantuan tambahan dari ibu negara.

Ketua Delegasi IFRC di Afghanistan, Necephor Mghendi berkata, pihaknya turut menyediakan makanan yang dimasak dan tempat perlindungan sementara kepada penduduk yang kehilangan tempat tinggal serta perkhidmatan kesihatan kecemasan dan bentuk bantuan lain.

“Tahap penderitaan di Afghanistan sudah tidak terkata. Tindak balas kecemasan kami akan menumpukan kepada keperluan penting bagi menyelamatkan nyawa.

“Kita juga turut bersiap sedia untuk membantu isi rumah yang terjejas dalam pemulihan awal serta melengkapkan responden pertama untuk menghadapi bencana yang berlaku secara mengejut pada masa hadapan.

“Bencana ini akan meningkatkan lagi tekanan terhadap Afghanistan yang sudah dilanda krisis teruk,” katanya menerusi kenyataan.

Pemangku Presiden, Persatuan Bulan Sabit Merah Afghanistan, Mawlawi Mutiul Haq Khales berkata, sukarelawa negara itu mempunyai pengetahuan yang sangat baik tentang kawasan terjejas dan keperluan mendesak.

“Tumpuan kami kini adalah untuk memastikan boleh bertindak secepat mungkin untuk membantu mangsa dengan mengambil kira skala banjir di seluruh negara dan kemungkinan krisis yang lebih buruk akan datang.

“Ramai mangsa yang terjejas adalah penduduk yang sangat miskin dan hanya menunggu untuk mendapatkan bantuan dari kami,” katanya.

4 Mei lalu, IFRC memperuntukkan 750,000 Franc Swiss (RM3.86 juta) daripada Dana Kecemasan Respons Bencana (DREF) sebagai tindak balas awal.

Walau bagaimanapun, operasi yang dibiayai oleh DREF tersebut hanya meliputi 11 wilayah daripada 25 yang terjejas, tidak termasuk Baghlan dan wilayah lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN