Alpaca si comel berleher jinjang

Alpaca si comel berleher jinjang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALPACA adalah wow factor atau tarikan buat pengunjung datang ke bandar Gopeng, atau lebih tepat ke Taman Zahara.

Sebaik sahaja berkunjung di taman itu, dengan penuh mesra pemiliknya, Thanabalan Sengodan, 40, terus menyapa saya.

“Seakan-akan biri-biri bukan tetapi alpaca sifatnya jinak, mudah mesra dan suka berswafoto. Syaratnya jangan biarkan haiwan ini kelaparan kerana bila lapar ia boleh bertukar menjadi agresif,” katanya.

Alpaca boleh didapati dalam 22 warna antaranya hitam, kelabu, coklat dan putih.

Memiliki fizikal berleher panjang, berkepala lonjong dan gemar hidup berkumpulan.

Ada 12 ekor alpaca di Taman Zahara iaitu tujuh betina dan lima jantan.

Kata Thanabalan, alpaca gemar bersosial dan sifat ingin bergerak atau beraktiviti secara berkumpulan itu menjadikan ia haiwan yang peramah.

“Sekiranya haiwan ini diasingkan ia mudah sakit dan berisiko untuk mati. Uniknya, mereka ada pendekatan tersendiri berkomunikasi sebagai contoh jika ‘kawan’ mereka dibawa keluar jauh dari kandang sebentar ada suara seperti memanggilnya kembali ke kumpulan.

“Senang cerita apa sahaja yang dilakukan haiwan ini seperti makan, minum malah tidur
sekalipun akan dilakukan secara berjemaah,” katanya.

Haiwan jinak ini turut gemar berswafoto seperti manusia.

Wajahnya seolah-olah tersenyum bila diberikan makanan seperti lobak merah, epal, rumput dan brokoli.

Alpaca tidak agresif, mudah mesra dan jinak. Sifat berkenaan membolehkan haiwan ini didekati tanpa perlu memikirkan soal keselamatan.

Di sebalik keramahannya itu, si leher jinjang ini sebenarnya agak liat bangun tidur.


KANDANG BERKIPAS
Thanabalan memberitahu, habitat alpaca di kawasan pergunungan Andes di Peru yang sejuk membuatkan beliau memasang kipas dalam kuantiti yang banyak di kandang haiwan berkenaan.

“Mereka pun tidak tahan panas. Sebab itu saya sediakan kipas siling dan alat penyejuk di bawah untuk sentiasa haiwan ini tenang dan tidak kepanasan.

“Jika cukup makan dan tidur haiwan ini tiada masalah untuk menjaganya. Alpaca biasa tidur lapan jam setiap hari di kandang yang selesa dan tidak terlalu sesak,” katanya.

Alpaca dijaga sebaik mungkin Taman Zahara terletak di kawasan kampung.

Walaupun berpagar, Thanabalan takut juga ia terlepas lantas berisiko merosakkan tanaman orang
kampung berdekatan.

“Atas alasan itu juga pihak pengurusan turut menyediakan tempat tinggal untuk pekerja bagi memudahkan mereka menyelia alpaca setiap masa,” katanya.

BAHAN TERAPI
Haiwan bijak dan boleh digunakan sebagai terapi bagi binatang yang lain.

Kata Thanabalan, sekiranya diajar dan dilatih, alpaca boleh melompat, melakukan isyarat tangan dan meletakkan kepalanya dibahu manusia.

“Ada dua jenis alpaca iaitu Suri dan Huacaya cuma yang membuatkan kedua-duanya berbeza ialah kepanjangan dan ketebalan bulunya,” katanya.

Habitat asal alpaca ialah Peru atau Bolivia.

Namun kini ramai penternak mula membelanya di Australia untuk dijadikan haiwan peliharaan eksotik.

Di Peru, haiwan ini diternak secara komersial untuk mendapatkan bulunya yang laris di pasaran kota fesyen seperti London, Paris dan New York

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya