GAZA: Lebih 520 mayat ditemukan di tujuh kubur besar di dua hospital Gaza setakat ini, kata Kementerian Kesihatan Palestin kelmarin.
“Kami menemukan 80 mayat lagi dalam tiga kubur besar di halaman Kompleks Perubatan Al-Shifa dan berpuluh-puluh lagi dalam jabatan hospital.
“Pemeriksaan ke atas mayat yang digali dari kubur besar menunjukkan bahawa jumlah terbesar mayat adalah kepunyaan pesakit yang tidak mendapat penjagaan kesihatan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
UNSC BIMBANG PENEMUAN KUBUR BESAR
Anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) turut menyatakan kebimbangan mereka mengenai penemuan kubur besar di Gaza yang dilanda perang.
Dalam satu kenyataan akhbar, UNSC menyatakan kebimbangan mereka yang mendalam terhadap laporan mengenai penemuan kubur besar di dalam dan sekitar kemudahan Hospital Nasser dan Al Shifa di Gaza di mana beberapa ratus mayat, termasuk wanita, kanak-kanak dan orang tua dikebumikan.
Mereka menggariskan keperluan untuk akauntabiliti bagi pelanggaran undang-undang antarabangsa dan menyeru supaya penyiasat dibenarkan akses tanpa halangan ke semua lokasi kubur besar di Gaza untuk menjalankan siasatan segera, bebas, teliti, komprehensif, telus dan tidak berat sebelah bagi menentukan keadaan di sebalik kubur itu.
TUNTUT PEMATUHAN ANTARABANGSA
Ahli UNSC mengulangi tuntutan mereka agar semua pihak mematuhi dengan teliti kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, khususnya mengenai perlindungan orang awam dan objek awam.
Mereka menegaskan semula kepentingan membenarkan keluarga mengetahui nasib dan lokasi saudara mereka yang hilang, selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Mereka menekankan keperluan semua pihak untuk melaksanakan dengan segera dan sepenuhnya Resolusi 2728 (2024), 2720 (2023) dan 2712 (2023).
Beratus-ratus mayat ditemukan setakat ini dari kubur besar di kompleks perubatan selepas tentera Israel berundur dari bandar itu pada 7 April lalu, menurut Al-Jazeera.
Pengunduran tentera setelah serangan darat dilakukan tentera Israel selama empat bulan.
Individu-individu ini yang terdiri daripada pelbagai kumpulan dan lingkungan umur dibunuh oleh tentera Israel semasa pencerobohan mereka ke dalam kompleks Nasser dengan jumlah besar adalah wanita dan kanak-kanak.
KUBUR BESAR BUKTI GENOSID
Jurucakap Hamas, Abd. al-Latif al-Qanou berkata dalam satu kenyataan bulan lalu bahawa penemuan mayat itu adalah bukti tambahan tentang pertumpahan darah pendudukan dan tahap pembunuhan beramai-ramai yang diamalkan terhadap rakyat Palestin.
“Kubur besar-besaran dan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat kita memerlukan tekanan antarabangsa dan politik untuk mengaktifkan Resolusi PBB dan antarabangsa serta melaksanakan langkah berjaga-jaga yang diambil oleh Mahkamah Dunia untuk melindungi rakyat kita dan menyelamatkan mereka daripada perang genosid,” katanya.
Tentera Israel berundur dari Hospital Al-Shifa, kompleks perubatan terbesar di Gaza, di Bandar Gaza pada 1 April lalu selepas pencerobohan selama dua minggu.
Kompleks hospital itu ditinggalkan dalam runtuhan dan tidak berfungsi sepenuhnya.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, 34,971 rakyat Palestin terbunuh dan 78,641 cedera dalam pembunuhan beramai-ramai Israel yang berterusan di Gaza bermula pada 7 Oktober lalu.
Lebih-lebih lagi, sekurang-kurangnya 7,000 orang tidak dapat dikesan, dianggap mati di bawah runtuhan rumah mereka di seluruh Semenanjung.
Pertubuhan Palestin dan antarabangsa mengatakan bahawa majoriti yang terbunuh dan cedera adalah wanita dan kanak-kanak. – AGENSI











