Remaja jual baju, bantu pesakit diabetes

Sofia Saccor jual baju, bantu pesakit diabetes

Sofia anak perempuan pemilik jenama fesyen dari Portugal, Sacoor iaitu Salim Sacoor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DISAHKAN diabetes jenis 1 seawal usia lapan tahun mendorong seorang usahawan remaja mengeluarkan pakaian sukan berjenama SÜ1 bagi membantu golongan senasibnya.

Sofia Sacoor, 17, yang berasal dari Lisbon, Portugal dan kini menetap di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) merintis inisiatif murni itu sejak empat tahun lalu.

Misinya, adalah untuk mengumpul dana bagi membantu pesakit kanak-kanak dan remaja yang berdepan kekangan kewangan untuk menampung kos rawatan sekali gus memupuk kesedaran tentang penyakit kronik itu.

“Sebagai remaja, saya sering terfikir bagaimana saya boleh menghulurkan bantuan kepada mereka yang mengalami nasib sama.

“Akhirnya, tercetus idea untuk memulakan perniagaan pakaian secara dalam talian untuk menyokong komuniti itu.

“Bagi setiap pembelian yang dibuat di laman web, sebanyak 20 dirham (RM26) akan disalurkan kepada rumah-rumah kebajikan yang menyokong pesakit diabetes jenis 1 dalam kalangan anak-anak,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

 

Sofia merupakan anak perempuan kepada pemilik jenama fesyen dari Portugal, Sacoor iaitu Salim Sacoor.

Katanya, pakaian sukan dipilih bagi menekankan kepentingan mengekalkan tahap kesihatan bagi yang bergelut dengan penyakit itu.

Antara yang dihasilkan ialah baju T, hoodie, sweater dan seluar pendek serta panjang dalam pelbagai saiz bermula XS hingga XXL.

Keunikan SÜ1 terletak pada lakaran berbeza yang diketengahkan kerana melambangkan kegembiraan dan harapan, misalnya, mesej bertulis, a ripple of smiles.

“Ia bermaksud, sebarang aktiviti pembelian mampu menguntum senyuman dan keceriaan di wajah pesakit diabetes.

“Malah, dalam tempoh enam bulan lalu, sejumlah 800 helai pakaian terjual dan ini merupakan pencapaian paling membanggakan bagi SÜ1,” katanya.

Sofia berkata, koleksi kedua dijangka dipasarkan pada September depan.

Beliau yang berkunjung ke Malaysia baru-baru ini turut berhasrat meluaskan pasaran SÜ1 ke negara ini dan Portugal.

“Keluarga saya memiliki hubungan akrab dengan masyarakat Malaysia kerana mereka sentiasa menyokong jenama Sacoor sepanjang lebih 10 tahun bertapak di sini,” ujarnya.

 

10 suntikan insulin sehari
Berkongsi perjalanannya bergelut dengan penyakit itu, kata Sofia, setiap hari dia memerlukan sehingga 10 suntikan insulin.

Walaupun pembelajaran dan waktu bekerja terbatas akibat diabetes, namun, remaja ini tetap mahu menjalani kehidupan dengan secara maksimum.

“Penyakit kronik ini menyebabkan badan saya tidak dapat menghasilkan tenaga yang optimum untuk rutin seharian, apatah lagi jika berdepan tekanan tinggi.

“Kadang-kala saya rasa kecewa kerana badan tidak bertindak balas dengan keperluan saya,” katanya.

Menurut Sofia, penyakit itu bukan sahaja mengubah kehidupannya, malah tempiasnya turut terkena kepada seluruh ahli keluarga.

Ujarnya, keluarga perlu menyesuaikan diri untuk menjaga di samping menyokong setiap keperluannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×