Qabil bermula sederhana pada pusingan pertama ESBK

Qabil bermula sederhana pada pusingan pertama ESBK

AKSI Qabil Irfan Azlan dalam perlumbaan pusingan pembukaan ESBK di Litar Jerez, Sepanyol, hari ini. - IHSAN ZK Racing
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pendedahan yang diterima oleh pelumba cilik negara, Qabil Irfan Azlan dalam penampilan sulungnya pada Kejohanan Superbike Sepanyol (ESBK), musim ini, diyakini mampu membentuknya menjadi pelumba yang lebih matang dan kompetitif.

Mencatat keputusan sederhana dalam aksi pembukaan ESBK di Litar Jerez, semalam dan hari ini, pelumba berusia 12 tahun itu melengkapkan saingan di kedudukan keenam dalam perlumbaan 1 (22 minit 35.456 saat) serta ke-12 bagi perlumbaan 2 (22:57.769s).

Bernaung di bawah pasukan Frando Racing VHC Team, Qabil menerusi kiriman video dari Jerez berkata, dia tidak begitu gembira dengan keputusan perlumbaan kedua, hari ini, dan masih banyak kekurangan yang perlu diperbaikinya ketika mengendalikan jentera.

“Saya tidak bagus kendalikan motosikal ketika jalan licin dan sejuk, tayar sedikit menggelungsur dan saya kena tingkatkan prestasi tunggangan saya terutama dalam cuaca sejuk,” katanya.

Berbeza dengan perlumbaan 1, semalam, Qabil memberitahu, dia berjaya menempatkan dirinya dalam kelompok hadapan.

“Pada pusingan terakhir saya sebenarnya berjaya merebut kedudukan ketiga, tetapi ketika sedang bersaing sengit saya hampir terjatuh,” ujarnya.

Ekoran insiden yang menimpa anak jati Kuala Terengganu itu telah menjejaskan kedudukan keseluruhan Qabil pada perlumbaan 1 apabila terpaksa berpuas hati dengan keputusan di tangga keenam.

Pelumba Sepanyol, Enzo Zaragoza mendominasi dalam perlumbaan 1 dan 2 apabila dia menjuarai kedua-dua saingan tersebut.

Dalam perlumbaan 1, Zaragoza melengkapkan aksinya dengan catatan masa 22:34.523s, manakala, untuk saingan kedua, dia mencatat keputusan 22:39.045s.

Rakan sepasukan Qabil, Eneko Osorio menamatkan perlumbaan 1 di kedudukan ketiga (22:34.663s) dan perlumbaan 2 di tempat kelima (22:39.259s).- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN