Piala Uber: Malaysia tunduk kepada Taiwan 1-4

Piala Uber: Malaysia tunduk kepada Taiwan 1-4

K. Letshanaa membalas pukulan ketika menentang pemain Taiwan, Wen Chi Hsu pada aksi Kumpulan B Piala Uber, hari ini di Chengdu, China.-IHSAN BAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad badminton wanita negara membuka tirai Piala Uber, hari ini, dengan kekalahan 1-4 kepada Taiwan dalam aksi Kumpulan B di Chengdu, China.

Pemain yang menghuni ranking ke-32 dunia, Goh Jin Wei gagal menghadiahkan mata pertama Malaysia apabila tewas kepada jaguh No. 5 dunia, Tai Tzu Ying 19-21, 20-22 dalam masa 33 minit.

Bagaimanapun, Malaysia yang turun selaku ‘underdog’ kembali mengikat Taiwan 1-1, selepas beregu, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing mengejutkan pasangan ke-24 dunia, Hsu Ya Ching-Lin Wan Ching 21-19, 21-17 dalam masa 44 minit.

Perseorangan ketiga, K. Letshanaa yang berada di ranking ke-68 dunia memberikan tentangan sengit kepada pemain No. 27 dunia, Wen Chi Hsu, namun, pemain berusia 20 tahun itu akhirnya tunduk dalam rubber set 21-13, 17-21, 16-21.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia ketinggalan 1-2 dan beregu pecah ganding, Ho Lo Ee-Tan Zhing Yi yang turun sejurus selepas itu gagal mencari mata penyamaan apabila tewas kepada Hu Ling Fang-Teng Chun Hsun 17-21, 11-21 dalam masa 32 minit.

Pemain ke-81 dunia, Wong Ling Ching yang masuk ke gelanggang demi maruah Malaysia bekerja keras untuk memberikan tentangan dalam aksi terakhir, tetapi, pemain berusia 20 tahun itu akhirnya tumpas di tangan pemain No. 31 dunia, Sung Shuo Yun 17-21, 20-22 dalam masa 46 minit.

Dibarisi rata-rata pemain yang masih muda dan cetek pengalaman, skuad wanita yang diterbangkan ke Chengdu beraksi tanpa kelibat beregu handalan Malaysia, Pearly Tan-M. Thinaah yang mahu memberi fokus kepada penampilan sulung mereka pada Sukan Olimpik di Paris, Julai ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya