BUKIT MERTAJAM : Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) bersedia memberikan galakan serta khidmat rundingan kepada para majikan dan pekerja yang berminat melaksanakan aturan kerja secara anjal atau fleksibel.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, ketika ini, ada dalam kalangan majikan khususnya telah melaksanakan aturan kerja tersebut, namun, masih ramai yang belum berbuat demikian.
Menurut Steven, secara umumnya, rata-rata majikan mengetahui mengenai kewujudan peruntukan untuk jadual kerja anjal itu kerana ia telah dikuatkuasakan sejak Januari tahun lepas di bawah undang-undang Akta Kerja 1955.
Bagaimanapun kata beliau, masih ada yang tidak mengetahui kaedah untuk melaksanakan peraturan itu meskipun ramai yang berminat untuk melaksanakannya.
“Jadi, saya galakkan sama ada pihak majikan atau pekerja untuk rujuk kepada pejabat pekerja (Jabatan Tenaga Kerja atau JTK) di kawasan masing-masing jika ada kemusykilan mengenai perkara ini.
“Dalam hal ini juga, Kesuma akan sentiasa memberi galakan dan khidmat rundingan contohnya melalui TalentCorp (Talent Corporation Malaysia Berhad selaku badan pemikir strategik Kesuma) kepada mereka,” ujar Steven.
Media sebelum ini melaporkan bahawa pekerja di Malaysia juga boleh memohon kepada majikan masing-masing untuk mendapatkan aturan kerja fleksibel berdasarkan masa, hari dan lokasi bekerja mengikut Seksyen 60P dan 60Q Akta Kerja 1955.
Permohonan berkenaan bagaimanapun perlu diserahkan kepada majikan untuk diberikan maklum balas dalam tempoh 60 hari dan sekiranya ditolak, majikan harus memberikan alasannya.-UTUSAN










