Cuaca panas ekstrem landa Asia Tenggara, Asia Selatan

Cuaca panas ekstrem landa Asia Tenggara, Asia Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Negara-negara di Asia Tenggara dan Asia Selatan bersiap sedia menghadapi cuaca panas ekstrem dengan amaran kesihatan dikeluarkan kepada penduduk di wilayah masing-masing. 

Gelombang cuaca panas sehingga mencecah suhu 45 darjah Celcius menyebabkan penduduk sanggup menghabiskan masa lebih lama di pusat beli-belah serta menyebabkan banyak sekolah ditutup sementara.  

Ahad lalu, Filipina mengumumkan penangguhan kelas secara bersemuka di semua sekolah kerajaan selama dua hari, selepas suhu panas yang memecah rekod di Manila. 

Di Thailand, Jabatan Meteorologi memberi amaran tentang cuaca panas ekstrem selepas suhu di wilayah utara melebihi 44.1 darjah Celcius, Sabtu lalu, serta 30 orang maut akibat strok haba tahun ini. 

Di Kemboja, Myanmar, Vietnam, India dan Bangladesh, peramal cuaca memberi amaran suhu boleh melebihi 40 darjah Celcius dalam beberapa hari akan datang. 

Agensi Cuaca dan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan suhu global mencecah paras tertinggi tahun lalu, dan negara Asia akan mengalami suhu panas ekstrem, Selasa ini. 

Perubahan iklim menyebabkan gelombang haba menjadi lebih lama, kerap dan berpanjangan. 

Ahad lalu, peramal cuaca meramalkan suhu di pusat bandar Mandalay boleh mencecah 43 darjah Celcius. 

Kementerian Air dan Meteorologi Kemboja turut meramalkan suhu sama di beberapa bahagian di negara itu, minggu hadapan. 

Di Vietnam, suhu kekal tinggi diramalkan semasa cuti Hari Kebangsaan selama lima hari dengan ramalan setinggi 41 darjah Celcius di bahagian utara.

Jabatan Kaji Cuaca di India memaklumkan gelombang haba teruk akan berterusan sepanjang hujung minggu ini di beberapa negeri, dengan suhu meningkat sehingga 44 darjah Celcius di beberapa lokasi. 

Suhu panas dikatakan akan kekal sehingga hujung bulan ini, manakala keadaan lebih sejuk dijangka bermula Mei ini. -AFP  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya