KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu masih menunggu jawapan Kementerian Kewangan (MOF) berhubung tunggakan bayaran royalti minyak kepada negeri itu pada tahun lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, maklum balas daripada MOF dijangka diberikan pada Sidang Dewan Rakyat pada minggu depan.
Menurut Ahli Parlimen Kemaman itu, tunggakan bayaran royalti minyak daripada Kerajaan Persekutuan kepada Terengganu pada tahun lalu masih berbaki kira-kira RM600 juta.
“Jawapan bagi pihak MOF akan berlangsung beberapa hari dijangka bermula Isnin sehingga Rabu depan.
“MOF juga dalam senarai aturan pertama mesyuarat, jadi saya tidak mahu komen apa-apa sehingga Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan memberi jawapan.
“Jumlah tunggakan masih berbaki kira-kira RM600 juta lagi,” ujarnya ketika ditanya jika ada perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan berhubung perkara berkenaan.
Ahmad Samsuri berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Sambutan 30 Tahun Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini, hari ini.
Kelmarin, Ahmad Samsuri ketika Titah Diraja Perbahasan Dewan Rakyat meminta penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung tunggakan bayaran royalti minyak tahun 2023.
Ahmad Samsuri dalam ucapannya mendakwa tindakan menekan rakyat negeri itu berlawanan dengan sifat ihsan dan hormat yang menjadi antara tonggak nilai pentadbiran kerajaan Malaysia Madani.
“Tentu Kerajaan Madani tidak mahu dibaca dalam buku sejarah atau generasi akan datang sebagai pihak yang tidak membayar wang royalti yang masih berbaki,” kata beliau. – UTUSAN










