PETALING JAYA: Mensasarkan golongan wanita dalam perjalanan ke tempat kerja pada waktu pagi bagi menjalankan kegiatan samun dan ragut di sekitar daerah ini.
Itulah modus operandi dua lelaki warga asing berusia 40-an yang ditahan pada pukul 7 pagi di kawasan perumahan Kelana Jaya di sini pada 17 Mac lalu.
Malah, dua suspek yang cuba melarikan diri ketika tangkapan turut bersubahat dengan rakan senegaranya, iaitu wanita berusia 30-an yang berperanan sebagai orang tengah bagi urusan pajak gadai.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, ketika ditahan, kedua-dua suspek gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri.
“Hasil pemeriksaan pada suspek pertama telah menemukan anak kunci Yamaha bersama cukai jalan, sepasang baju dan seluar, telefon bimbit, topi keledar, sepasang kasut Nike dan motosikal.
“Kita juga turut menemukan sepasang baju, sepasang kasut Skechers, topi keledar, barangan kemas dan tiga surat pajak gadai,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Petaling Jaya hari ini.
Menurut beliau, dengan penahanan itu, pihak polis berjaya menyelesaikan enam samun di sekitar daerah terbabit.
“Ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut,”katanya.
Dalam kes berasingan, Shahrulnizam berkata, seorang lelaki tempatan berusia 20-an ditahan dipercayai terlibat dalam kes pecah cermin kereta dalam serbuan di sebuah rumah di Kelana Jaya di sini, Jumaat lalu.
Menurutnya, siasatan mendapati suspek dipercayai bergiat aktif sejak sebulan lalu dengan menyasarkan kenderaan yang diparkir di tempat meletak kenderaan yang agak tersorok.
Jelas beliau, pemeriksaan lanjut mendapati suspek yang mempunyai empat rekod lampau berkaitan kes narkotik itu menjalankan kegiatan tersebut sejak sebulan lalu.
“Pemeriksaan dalam rumah menemukan dua alat pemain Android, DVD player, dua kad Smart Tag, 11 Touch `n Go dan telefon bimbit.
“Dengan tertangkapnya suspek, kita berjaya menyelesaikan enam kes pecah cermin kereta di sekitar Kelana Jaya,” katanya.- UTUSAN










