Fokus ramaikan pelajar STEM bagi kekal, tarik pelabur asing

Fokus ramaikan pelajar STEM bagi kekal, tarik pelabur asing

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi tumpuan kepada latihan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) peringkat tertinggi bagi menarik dan mengekalkan pelaburan asing ke Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika ini negara masih kekurangan latihan dalam pendidikan Matematik, Sains, kejuruteraan, kecerdasan buatan (AI) dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“Minat pelajar dalam bidang STEM merosot dan ini membimbangkan. KPM (Kementerian Pelajaran Malaysia) telah mengambil beberapa langkah bersama beberapa kumpulan pendidikan lain untuk menggesa ibu bapa memberi tumpuan semula kepada Matematik dan Sains.

“Ini sedang diusahakan secara lebih serius. Kita mampu melakukan kalau kita memberi tumpuan dan peruntukan tambahan sepenuhnya (terhadap latihan dalam bidang STEM),” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) dalam soalan tambahannya meminta kerajaan menjelaskan langkah untuk memastikan momentum pelaburan  diperoleh tahun lepas iaitu sebanyak RM329.5 bilion terus meningkat pada tahun yang mendatang.

Mengulas mengenai syarikat asing yang berhasrat ingin melabur dalam negara, Anwar berkata,  beliau sentiasa menekankan kepentingan kewujudan pusat kecemerlangan berkaitan syarikat itu di negara ini bagi menyediakan latihan kemahiran kepada golongan profesional serta pelajar tempatan.

“Mesti ada latihan di sini kerana kita sekarang memang kekurangan jurutera. Jurutera yang kita lahirkan walaupun baik dan diterima baik, masih dianggap ada kekurangan di peringkat yang tertinggi, (dari segi) kemahiran atau keterampilan peringkat tertinggi.

“Jadi ada jurang tentang niche (bidang) yang diperlukan. Oleh itu penumpuan kepada TVET dan kejuruteraan ini (perlu) diberikan (perhatian)… Kalau Malaysia tidak lakukan apa-apa yang segera, yang mendesak, kita akan kerugian.

“Ini kerana tumpuan sekarang bukan lagi low-end industry tetapi high-end industry yang memerlukan kecekapan yang lebih tinggi daripada yang ada sekarang,” kata Perdana Menteri.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN