Wayang kulit Cina dalam skrin gergasi

Wayang kulit Cina dalam skrin gergasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IBARAT menonton wayang kulit Cina dalam skala skrin gergasi. Itu perasaan saya ketika berpeluang mengunjungi galeri seni digital imersif Rexperience Kuala Lumpur (RXP.KL) di REXKL.

Lokasi yang dahulunya panggung wayang itu kini diubah suai menjadi ruang seni moden bagi memaparkan karya berjudul Piying Dream dan Matter of Painting.

Cetusan idean Danny Rose Studio itu pernah memenangi anugerah di seluruh dunia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengasas bersama RXP.KL, Sebastien Jurkowski berkata, pengunjung bebas merasai pengalaman imersif audio dan visual di dalam ruang yang dilengkapi teknologi audiovisual.

Pengalaman itu, katanya, dapat mencetuskan rasa ingin tahu, memupuk penerokaan imaginasi yang luas serta menjadikan seni lebih mudah diakses bagi semua orang.

“Tayangan dalam tempoh sejam membawa penonton melihat wayang kulit Cina dalam bentuk animasi digital yang berjudul Piying Dream.

“Menerusi lebih 3,000 watak wayang kulit yang direka dengan sempurna bermula sejak zaman Dinasti Qing, ia merupakan satu bentuk seni yang sangat berharga dalam senarai Intangible Cultural Heritage, Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sejak 2011,” katanya semasa sesi tayangan berkenaan, baru-baru ini.

Piying Dream persis sebuah dunia khayalan yang menjalinkan reka bentuk motif dan warna-warna terang yang ikonik daripada artifak tulen yang diperoleh daripada koleksi terbesar di dunia sempena sambutan Tahun Baharu Cina, baru-baru ini.

Sepanjang melayari dunia imaginasi itu, penonton disajikan dengan karakter-karakter ikonik daripada sastera klasik Cina termasuk Sun Wukong iaitu Raja Monyet diikuti Zhuge Liang yang bijaksana, Wu Song yang terkenal dengan sikap perwira serta makhluk dongeng seperti naga.

Persembahan wayang kulit itu dilengkapi visual memukau, pilihan warna menarik serta audio muzik dan karakter yang berlatar belakangkan kebudayaan dari China.

Piying Dream merupakan hasil kerjasama produksi studio itu bersama Temple of Light iaitu perintis pameran seni digital imersif dari China.


LUKISAN DIGITAL
Matter of Painting menawarkan pengunjung sebuah pengalaman berbeza yang merupakan hasil inspirasi daripada Action Paintings sekitar era 1950an di kota metropolitan New York.

Jurkowski berkata, seni itu mengubah ruang dinding teater kepada kanvas yang mempesonakan.

“Ia seolah-olah seorang artis digital sedang menerokai pelbagai tekstur dan warna bahan seni lukis. Namun, kehadirannya tidak kelihatan sama sekali, persis halimunan di sebalik lukisan.

“Karya ini dipaparkan seperti persembahan lukisan secara langsung yang membawa penonton merasai tayangan visual dengan gabungan teknologi yang dipancarkan terus ke kanvas serta permainan warna dan bentuk yang menarik,” jelasnya.

Pameran bermula dari pukul 10 pagi hingga 10 malam itu berlangsung selama tujuh bulan hingga 6 September depan.

Danny Rose Studio merupakan studio reka bentuk yang dikenali dengan penciptaan kolektif seni dan reka bentuk pelbagai disiplin berpangkalan di Paris.

Untuk rekod, hasil kerja studio gergasi ini berjaya menarik kunjungan lima juta pengunjung di pelbagai lokasi acara seluruh dunia seperti di Sydney, Tokyo, New York, Singapura, Seoul serta semasa majlis penutupan Sukan Olimpik Musim Sejuk, 2022.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini