GAZA: Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mendedahkan kira-kira 17,000 kanak-kanak di Gaza tidak ditemani atau dipisahkan daripada keluarga mereka semasa konflik.
Tambah agensi PBB itu, hampir semua kanak-kanak di kawasan itu memerlukan sokongan kesihatan mental.
Ketua komunikasi UNICEF untuk Wilayah Palestin, Jonathan Crickx, kanak-kanak di Gaza menunjukkan gejala seperti tahap kebimbangan berterusan yang sangat tinggi dan kehilangan selera makan.
Katanya, kanak-kanak berkenaan tidak boleh tidur, mereka mengalami ledakan emosi, atau mereka panik setiap kali mendengar bom.
“Sebelum perang ini, UNICEF sudah mempertimbangkan bahawa 500,000 kanak-kanak sudah pun memerlukan kesihatan mental dan sokongan psikososial di Gaza.
Hari ini, kami menganggarkan hampir semua kanak-kanak memerlukan sokongan itu dan itu lebih daripada satu juta kanak-kanak,” katanya.










