PUCHONG: “Bunyi umpama bom meletup, kemudian saya nampak orang keluar sambil jerit minta tolong.”
Keadaan cemas itu dikongsi seorang saksi kejadian letupan gas di kilang kimpalan di Taman Perindustrian Puchong, Subang Jaya di sini, semalam.
Kejadian letupan melibatkan gas acetylene pada pukul 10.14 pagi itu itu meragut nyawa dua individu yang dikenal pasti sebagai lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an manakala dua lagi mangsa iaitu rakyat tempatan cedera.
Saksi yang mahu dikenali sebagai Chen, 40-an itu mendakwa, ketika kejadian, dia yang bekerja di sebuah premis di hadapan kilang tersebut tiba-tiba terdengar bunyi letupan kuat seakan-akan bom.
“Apabila saya lihat di luar, terdapat api manakala ada beberapa pekerja keluar dari kilang terbabit sambil meminta tolong.
“Saya lihat ada orang yang selamat tetapi keadaannya teruk, kaki dia seperti terkena sesuatu dan hancur,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, seorang lagi saksi dikenali sebagai Ng berkata, dia tidak menyangka bunyi kuat yang disangka mercun yang dibakar sempena Tahun Baharu Cina rupanya kejadian letupan di kilang hadapan kira-kira 100 meter dari stor di hadapannya.
Katanya, dia kemudian terlihat kepulan asap tebal keluar dari premis kilang kejuruteraan elektrik tersebut.
“Bunyi dentuman itu sangat kuat dan mengakibatkan beberapa keping atap di kilang itu pecah. Ada serpihan atap daripada kilang itu terpelanting sehingga ke hadapan stor yang saya jaga.
“Kereta kawan saya juga retak mungkin terkena serpihan keras akibat letupan di kilang ini,” katanya.
Dalam pada itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, dua individu yang dilaporkan maut dalam insiden letupan gas itu ditemukan dalam keadaan tidak sempurna.
Menurutnya, buat masa ini pihaknya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melakukan siasatan bagi mengenal pasti punca berlakunya letupan itu.
“Keadaan mayat tak sempurna disebabkan itu kita perlukan masa untuk siasatan,” katanya.
Menurut Mukhlis, pasukan forensik mqsih menyiasat punca kejadian namun pemeriksaan terhadap tong gas yang berada di premis didapati tiada kebocoran.
“Siasatan mendalam turut dijalankan sekiranya terdapat pelanggaran Standard Operasi Prosedur (SOP),” katanya. – UTUSAN










