PETALING JAYA: Pempengaruh dan aktivis politik, Syarul Ema Rena Abu Samah atau lebih dikenali sebagai Ratu Naga ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguamnya, Nabila Khairuddin berkata, ahli Perikatan Nasional (PN) itu ditahan pada pukul 9 pagi selepas pegawai SPRM membuat serbuan ke atas kediamannya di Jalan Klang Lama.
“Ya, benar anak guam saya (Ratu Naga) ditahan pada 9 pagi ini (semalam) namun alasan penangkapannya belum dimaklumkan oleh pegawai SPRM.
“Justeru, kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang mengatakan dia tidak ditahan dan hanya dipanggil untuk rakam percakapan tidak benar.
“Saya kini berada di SPRM, Putrajaya namun sehingga kini tidak dibenarkan berjumpa dengan anak guam saya dan masih menunggu maklumat lanjut daripada pegawai penyiasat,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, ketika berita ini ditulis, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan wanita terbabit dipanggil untuk memberi keterangan dan pemeriksaan dilakukan di premisnya.
“Setakat ini, dia masih memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya dan belum ditahan,” katanya. – UTUSAN










