JOHANNESBURG: Presiden Namibia, Hage Geingob, 82, meninggal dunia di Hospital Lady Pohamba di Windhoek, beberapa minggu selepas disahkan menghidap kanser.
Sehubungan itu, Naib Presiden Namibia, Nangolo Mbumba memangku tugas Presiden serta menerajui Namibia sehingga Pilihan Raya Presiden dan Parlimen diadakan pada akhir tahun ini.
Geingob yang bertanggungjawab ke atas negara Afrika selatan yang kurang penduduk sebelum ini pernah mengumumkan bahawa dirinya terselamat daripada kanser prostat pada 2015.
Malah, pada akhir bulan lalu, Geingob pergi ke Amerika Syarikat untuk melakukan rawatan dua hari untuk mematikan sel-sel kanser.
Dilahirkan pada tahun 1941, Geingob ialah seorang ahli politik terkemuka sejak Namibia mencapai kemerdekaan daripada Afrika Selatan yang diperintah minoriti kulit putih pada tahun 1990.
Beliau mempengerusikan badan yang merangka perlembagaan Namibia, kemudian menjadi perdana menteri pertama semasa kemerdekaan pada 21 Mac tahun tersebut, jawatan yang dipegangnya sehingga 2002.
Pada 2007, Geingob menjadi Naib Presiden Pertubuhan Rakyat Afrika Barat Daya (SWAPO) yang disertainya sebagai penggerak kemerdekaan ketika Namibia masih dikenali sebagai Afrika Barat Daya.
SWAPO kekal berkuasa di Namibia tanpa dicabar sejak merdeka.
Bekas jajahan Jerman itu secara teknikalnya merupakan negara berpendapatan sederhana atas tetapi negara yang mempunyai jurang kekayaan yang besar. -REUTERS









