Lima terbunuh, 31 cedera tanah runtuh di Davao de Oro, Mindanao  

Lima terbunuh, 31 cedera tanah runtuh di Davao de Oro, Mindanao  

GAMBAR edaran oleh Batalion Pengantara Infantri ke-60 Tentera Filipina menunjukkan askar Filipina memindahkan mangsa yang terselamat dari tanah runtuh ke Pusat Perubatan Wilayah Davao di Tagum, wilayah Davao del Norte, Filipina. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Sekurang-kurangnya lima terbunuh dan 31 cedera apabila tanah runtuh akibat hujan lebat menimbus dua bas dan rumah di kawasan pergunungan di selatan Filipina, malam semalam.

Kata Pegawai Bencana Wilayah, Edward Macapili kepada AFP, tanah runtuh tersebut berlaku di sebuah perkampungan perlombongan di wilayah Davao de Oro di pulau Mindanao, memerangkap sekurang-kurangnya 20 orang di dalam dua bas yang digunakan untuk mengangkut pekerja lombong.

Jelasnya, sekurang-kurangnya 28 orang berada di dalam bas ketika tanah runtuh, tetapi lapan berjaya menyelamatkan diri tanpa cedera melalui tingkap sebelum lumpur menenggelamkan mereka.

Bas-bas itu berada di luar lombong emas yang dikendalikan oleh syarikat Filipina Apex Mining di kampung Masara di mana bas menurunkan dan mengambil pekerja.

Menurut Macapili, lima mayat ditarik dari lumpur tetapi tidak jelas sama ada mereka adalah mangsa yang berada di dalam bas.

“Seramai 31 lagi penduduk kampung turut cedera. Dua daripada mereka cedera parah dan dibawa ke hospital di bandar Davao untuk rawatan.

“Tiada tanda-tanda tanah runtuh akan berlaku kerana hujan berhenti pada Khamis minggu lalu dan menjelang Jumaat, ia sudah cerah dan panas,” kata Macapili.

Macapili berkata, gempa bumi menggegarkan kampung berkenaan sejurus selepas tanah runtuh. 

Beliau memberitahu, usaha mencari dihentikan pada waktu tengah malam kerana terlalu berbahaya untuk diteruskan, tetapi diteruskan pada waktu siang.

Sementara itu, kata Macapili, 285 keluarga dari Masara dan empat kampung berhampiran terpaksa berpindah dari rumah mereka.

Malah, jelasnya, anggota tentera dikerahkan untuk membantu dalam usaha menyelamat.

“Jalan raya kekal tidak boleh dilalui dan tiada isyarat telefon bimbit di kawasan itu,” kata Komando Mindanao Timur tentera di Facebook Rabu.

Apex Mining dalam satu kenyataan dalam laman web memberitahu, kerja-kerja menyelamat terhalang berikutan penglihatan terhad. 

Tidak jelas sama ada pekerja lombong lain turut terjejas akibat tanah runtuh atau penduduk kampung lain hilang.

Hujan melanda bahagian Mindanao selama berminggu-minggu, memaksa puluhan ribu orang ke tempat perlindungan kecemasan.

Sekurang-kurangnya 18 orang maut akibat tanah runtuh dan banjir di wilayah itu minggu lalu, kata agensi bencana negara dalam kemas kini terbarunya.

Filipina kerap dilanda ribut dengan para saintis memberi amaran bahawa mereka menjadi lebih kuat apabila dunia semakin panas kerana perubahan iklim.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN