KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak yang baru empat hari berkhatan teruja apabila diberi peluang memilih sendiri kasut sekolah baharu pada program ‘Kembali Ke Sekolah’ anjuran Pertubuhan Kebajikan Fisabilillah Negeri Terengganu (Fisabilillah) di sini, hari ini.
Muhammad Aiman Hariz Mahabizan, 10, berkata, kesakitan yang dialami kerana berkhatan seolah-olah hilang apabila melihat pelbagai pilihan kasut yang cantik dan selesa untuk dipakai pada hari pertama penggal persekolahan 2024 yang akan bermula 11 Mac depan.
“Saya datang ke sini dengan ayah,
Mahabizan Razal, 43, dan ibu, Nor Hadibah Mohd. Arsad, 40, serta tiga lagi adik untuk memilih kasut, stoking dan beg sekolah.
“Ayah tak bagi saya berjalan-jalan pilih kasut sebaliknya ayah suruh saya duduk di tempat menunggu dan ayah bawa pelbagai jenis rekaan kasut untuk saya pilih sendiri,” katanya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Mengkuang, Marang.
Sementara itu, Mahabizan yang bekerja sebagai buruh binaan berkata, dia bersyukur kerana program ‘Kembali Ke Sekolah’ anjuran Fisabilillah Terengganu itu dapat meringankan beban kewangannya.
Menurutnya, tiga anaknya terpilih untuk membeli kasut, stoking dan beg sekolah dengan peruntukan sebanyak RM120 setiap orang.
“Lega sangat dapat bantuan macam ni sebab saya tengok barang sekolah pun makin mahal sekarang, kalau nak tunggu gaji memang susah sikitlah,” ujarnya.
Seorang pekerja di kilang keropok,
Zalina Ali, 47 pula berkata, dia lega kerana anak bongsunya, Nur Ain Syakira Zaki, 17 turut terpilih sebagai penerima dalam program anjuran Fisabilillah Terengganu tersebut.
“Gaji saya tak menentu bergantung kepada operasi di kilang. Baru-baru ini kilang tutup agak lama juga kerana musim tengkujuh dan saya baru bekerja pada bulan ini (Februari),” katanya.
Sementara itu, wakil Fisabilillah Terengganu, Muhammad Syariezal Ab Rashid berkata, seramai 110 pelajar dari keluarga kurang berkemampuan, asnaf dan anak yatim dari tiga daerah iaitu Kuala Terengganu, Hulu Terengganu dan Marang terpilih sebagai penerima pada program kali ini.
“Pada tahun ini, bantuan terpaksa dikurangkan kepada RM120 sahaja berbanding RM150 yang diberikan tahun lalu kerana kami juga kekurangan dana,” tambahnya. – UTUSAN








