Israel musnahkan bangunan Gaza, mahu wujudkan zon penampan

Israel musnahkan bangunan Gaza, mahu wujudkan zon penampan

ISRAEL belum mengesahkan secara terbuka rancangan untuk zon penampan di dalam Gaza, yang menurut pakar mungkin melanggar undang-undang antarabangsa.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAHAL OZ: Tentera Israel secara sistematik memusnahkan bangunan di Gaza dalam usaha mewujudkan zon penampan dalam wilayah Palestin.

Pakar dan kumpulan hak asasi manusia memberitahu AFP, langkah itu sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kos awam.

Menurut pakar, pelan itu yang tidak disahkan secara terbuka oleh Israel melibatkan sebahagian besar wilayah Gaza yang sudah dikuasai Hamas.

Seorang profesor di Universiti Hebrew Jerusalem yang menjalankan analisis imej satelit, Adi Ben Nun, berkata, sejak pejuang Hamas menyerang sempadan pada 7 Oktober lalu, tentera Israel menyasarkan struktur ba­ngunan di Gaza dalam jarak satu kilometer dari sempadan.

Katanya, lebih 30 peratus daripada semua bangunan di kawasan itu rosak atau musnah semasa perang.

“Malah, bulan lalu, tentera Israel menggunakan taktik untuk ‘membersihkan’ kawasan sempadan,” katanya.

Ketua tentera Israel, Herzi Halevi pula berkata, bulan lalu, seramai 21 anggota simpanan terbunuh semasa operasi pertahanan di kawasan yang memisahkan komuniti Israel dari Gaza bagi membolehkan penduduk kembali dengan selamat.

Jelasnya, tentera Israel meletakkan bahan letupan untuk meletupkan bangunan apabila mereka ditembak oleh pejuang Hamas.

Sementara itu, menurut pakar hak pelarian di Human Rights Watch, Nadia Hardman, perpindahan penduduk Gaza termasuk dari kawasan sempadan boleh melanggar undang-undang perang.

“Kami melihat bukti yang semakin meningkat bahawa Israel nampaknya menyebabkan sebahagian besar Gaza tidak dapat didiami.

“Satu contoh yang sangat jelas tentang itu, mungkin zon penampan. Ini mungkin merupakan jenayah perang,” katanya.

Ketika dihubungi AFP, pihak tentera enggan mengulas me­ngenai zon penampan tersebut.

Cecilie Hellestveit dari Akademi Undang-undang Antarabangsa Norway turut memberi amaran tentang prospek pembersihan etnik, pemindahan atau kekurangan pelan pembinaan semula supaya rakyat Palestin akhirnya akan dipaksa keluar dari kawasan itu sepenuhnya.

Pemeriksaan terhadap tindakan Israel di Gaza mungkin akan dipertingkatkan dengan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bulan lalu yang meminta Israel menghalang sebarang tindakan pembunuhan beramai-ramai.

Amerika Syarikat, sekutu utama Israel dan penyedia bantuan ketenteraan berulang kali berkata wilayah Gaza tidak boleh berubah dan zon penampan akan melanggar prinsip itu.

“Apabila bercakap mengenai status kekal Gaza…kami tetap jelas tentang tidak menceroboh wilayahnya,” kata Setiausaha Negara AS Antony Blinken.

Seorang profesor di Universiti Princeton, Ken Roth berkata di media sosial, Israel boleh menggunakan bahagian wilayahnya sendiri untuk mewujudkan zon keselamatan.

“Jika kerajaan Israel mahu zon penampan, ia mempunyai hak untuk mewujudkan satu di Israel yang jauh lebih besar, tetapi ia tidak mempunyai hak untuk merampas tanah di Gaza,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×