SITI Alyssa Yunos, 21, mendapati beliau menghadapi penyakit epilepsi semasa mengharungi masa-masa sukar dalam hidupnya.
Namun, timbul minat baharu dalam seni tembikar yang menjadi pengubat keresahan di jiwa gadis muda dari Singapura ini.
Setelah mengamalkan seni tembikar, serangan epilepsinya semakin terkawal.
“Saya mempunyai muscle memory yang sangat teruk. Jadi dengan membuat seni tembikar ini ia menolong menguatkan otak saya. Ia menenangkan,” katanya.

Pengalaman pertama Siti Alyssa membuat tembikar adalah semasa mengikuti kursus seni tiga dimensi dengan seramik di Akademi Seni Halus Nanyang (NAFA).
Namun bukan mudah baginya mengejar cita-cita untuk menjual hasil ciptaan tembikar itu.
“Ia memerlukan biaya untuk membuat tembikar dan membeli bahan-bahannya. Ayah saya tidak terlalu terbuka untuk menerima yang saya ingin menjalani perniagaan sendiri,” kongsi Siti Alyssa kepada wartawan Berita Medicorp, Fatyn Afyqah Abdul Samad.

Gadis muda itu tekad meneruskan niatnya membuat seni tembikar kerana mahu membuktikan kepada bapanya dan masyarakat yang dia boleh berjaya.
“Jarang orang Melayu berniaga sendiri terutamanya dalam bidang seni. Secara terus terang, di Singapura tidak banyak seniman Melayu berjaya dan mampu berdikari dalam bidang seni,” jelasnya.
Siti Alyssa mendapat sokongan kuat daripada pensyarah di NAFA yang mendorongnya melakukan latihan amali di luar dan juga mengambil bahagian di pameran seni.
“Buat sahaja, jangan takut, ada banyak sokongan seperti pameran Seni Kita. Lakukan apa yang anda suka dan apa yang anda selesa,” katanya.
Kini, Siti Alyssa menjual barangan seramiknya di dalam talian di laman Instagram ‘Tujuankitaa’.
Antara barangan ciptaannya dijual adalah cawan-cawan comel dinamakan ‘cawan pelik’ yang menggunakan tanah liat kitar semula.
Ketika menghasil cawan berkenaan, Siti Alyssa mengakui cuba mengelak daripada membazir sebanyak mungkin tanah liat.
“Dalam proses membuat satu cawan terdapat banyak tanah liat yang dibuang. Saya akan menggunakan tanah liat ini semula untuk reka bintikbintik di cawan pelik saya itu,” katanya.

Selain menjual hasil karyanya, Siti Alyssa turut mengendalikan bengkel tembikar dan ia mendapat sambutan memberangsangkan.
Wanita cekal ini membuka kelas pertamanya pada bulan September lalu di studio tembikar yang dinamakan Jalan Bahar Clay Studios.
“Saya sentiasa gembira untuk berkongsi ilmu dengan orang ramai dan tidak takut berkongsi kerana semua orang berhak mendapat peluang untuk belajar seni ini,” ujarnya. – AGENSI










