PETALING JAYA: Canon Marketing Malaysia (Canon) telah mengumumkan secara rasmi barisan EOS Master 2024 mereka pada majlis menandatangani perjanjian di Astana, Bamboo Hills, meneruskan tradisi kerjasama dan perkongsian ilmunya dalam kalangan komuniti pengimejan digital.
Inisiatif EOS Master, yang dilancarkan tahun lepas, adalah usaha berterusan syarikat itu untuk mencipta sebuah platform bagi menggalakkan libat urus interaktif antara individu kreatif yang bercita-cita besar, termasuk mereka yang baru mula berjinak-jinak, pelajar dan profesional, dengan pakar-pakar yang berpengalaman dalam bidang fotografi serta videografi di Malaysia.
Barisan EOS Master tahun ini menampilkan 17 jurugambar dan juruvideo terkenal dengan rekod kerjaya cemerlang dan telah mencipta impak berkekalan dalam industri kreatif. Mereka dipilih kerana kepelbagaian pengalaman, pengaruh dalam komuniti tempatan dan semangat yang dikongsi bersama terhadap kreativiti.
Kepakaran EOS Master ini meliputi pelbagai bidang seni visual yang meluas seperti dalam air, pengembaraan, lanskap, wartawan foto, sukan, dan fotografi alam semula jadi. Mereka memikul tanggungjawab sebagai mentor kepada individu kreatif dan peminat kamera, EOS Master ini akan berkongsi ilmu mengenai seni penceritaan, menyediakan alat yang diperlukan oleh pencipta kandungan yang sedang meningkat di seluruh Malaysia bagi merealisasikan wawasan mereka yang unik.
Di bawah Inisiatif EOS Master, 17 penyokong kamera ini akan menganjurkan pelbagai aktiviti, bengkel, seminar, dan pameran sepanjang tahun. Menerusi acara ini, mereka akan berkongsi teknik, cabaran, dan pengalaman peribadi.
Program ini memberi peluang kepada individu untuk meningkatkan kemahiran atau mempelajari kemahiran baharu, memastikan para peserta bukan sahaja dapat mengasah bakat mereka tetapi turut menjadi lebih bersemangat dalam bidang yang mereka ceburi.
Selain daripada peranan mereka sebagai pendeta wawasan kreatif, EOS Master juga akan bertindak sebagai penyokong jenama Canon.
Mereka akan mempamerkan keupayaan transformatif produk EOS yang membuka sempadan baharu dan menunjukkan segala kemungkinan hasil percantuman antara seni dan teknologi.
Inisiatif ini mengetengahkan rangkaian produk kamera dan lensa Sistem EOS R yang luas, menampilkan kepelbagaian portfolio Canon yang memenuhi keperluan EOS Master merangkumi pelbagai sektor, dan memupuk semangat kekitaan di kalangan penyokong kamera bagi memacu inovasi serta pertumbuhan dalam lanskap fotografi dan videografi di Malaysia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Canon Marketing Malaysia, Masato Yoshiie ketika mengulas mengenai acara itu, berkata, beliau bangga dengan kehadiran EOS Master yang mewakili Canon.
“Bakat serta semangat mereka dalam bidang sinematografi dan pengkaryaan imej selari dengan komitmen kami terhadap inovasi. Kami sangat berbesar hati kerana pakar-pakar dalam industri ini sudi untuk bersama-sama dengan kami dalam usaha memperkukuhkan lagi kedudukan jenama kami dan memberi inspirasi kepada generasi baharu jurufoto dan juruvideo yang bercita-cita besar di Malaysia,” kata Yoshiee.
“Inisiatif Canon dipandu oleh falsafah Kyosei, yang mencerminkan komitmen kami terhadap usaha menggalakkan orang ramai untuk hidup dan bekerjasama demi kebaikan bersama dan kesejahteraan manusia. Kami bersemangat untuk melaksanakan misi yang dikongsi bersama dengan EOS Master ini bagi membuka potensi ekspresi kreatif dan memperkasakan individu di seluruh negara untuk merakam dan berkongsi detik yang paling indah,” tambah Yoshiie.

Ketua Bahagian Perniagaan Komunikasi Imej Canon Marketing Malaysia, Edward Chang turut yakin EOS Master akan memainkan peranan penting dalam menyokong sektor kreatif Malaysia.
“EOS Master kami mempunyai komitmen yang jelas untuk memperkayakan dan mengangkat martabat industri kreatif negara dan juga menunjukkan semangat yang tinggi untuk menyumbang kepada komuniti tempatan.
“Canon sangat berbangga kerana EOS Master ini sudi menyertai kami dalam usaha mencipta impak yang berkekalan dalam lanskap fotografi dan videografi Malaysia.”
Canon sentiasa komited dalam usaha memupuk generasi baharu pencipta kandungan visual dan imej di Malaysia.
Menerusi inisiatif seperti sesi perkongsian ilmu dengan EOS Master yang disegani, syarikat itu akan terus menyediakan peluang yang amat berharga untuk individu kreatif mengasah kemahiran mereka dan menerokai potensi pengimejan digital yang tiada batasannya.
Komitmen ini menekankan sokongan tidak berbelah bahagi Canon terhadap usaha kreatif dan misi berterusan mereka untuk memperkasakan individu bagi merealisasikan wawasan mereka yang unik. – UTUSAN










