Bila Allah tarik suami, saya ibarat seekor burung yang patah sayap - Nora Ariffin - Utusan Malaysia

Bila Allah tarik suami, saya ibarat seekor burung yang patah sayap – Nora Ariffin

NORA Ariffin ketika ditemui selepas sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama dengan Yayasan Sofa Negeri Sembilan di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Masa mula-mula saya lalui semua ini pun saya tertanya-tanya kenapa saya diuji seperti ini. Apa dosa aku sampai saya diuji seperti ini.”

Demikian luahan penyanyi, Datuk Nora Ariffin berkongsi momen kehilangan suami tercinta, Johan Nawawi yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 2017.

Kongsi Penyanyi Di Persimpangan Dilema itu, ujian yang diberikan Tuhan dirasakan terlalu berat sehingga dia merasa seperti kehilangan segala kesenangan dalam hidup selain orang tersayang.

“Bagi saya ketika itu, ujian Allah beri itu memang sangat berat. Dia seperti menarik pergi orang yang paling saya sayang.Dia menarik segala kesenangan hidup saya sekali.

“Bila Allah bawa pergi suami, saya ibarat seekor burung yang patah sayapnya. Sewaktu arwah ada, kami boleh dikatakan hidup senang, mewah. Saya tak perlu buat apa-apa selain uruskan keluarga dan menyanyi.

“Bila arwah tiada, saya rasa seperti berada di tengah lautan dan saya tidak pandai berenang. Saya hilang semuanya. Pada waktu itu, dengan siapa saya nak mengadu? Kalau ada tempat kosong di sebelah kubur, saya nak duduk situ,” kongsinya sebak.

Bagaimanapun, menjalani kehidupan hari demi hari, Nora percaya setiap ujian yang Tuhan beri ada hikmah walaupun kadang kala terlalu pahit untuk ditelan sementelah dia hanya manudia biasa.

“Pada mulanya saya memang tidak boleh terima ujian itu, saya rasa mahu mati sahaja. Kalau Tuhan nak ambil saya pun tidak apa. Setiap hari saya pergi kubur. Ceteknya pemikiran saya ketika itu.

“Tetapi Allah sayang, Dia beri hidayah. Saya cari agama, cari ustaz dan ustazah yang boleh membantu saya. Mereka pesan apa sahaja yang berlaku itu atas ketentuan Allah dan Allah akan menguji setiap umat yang Dia sayang.

“Daripada situ saya faham bukan Allah benci saya tapi Allah uji saya kerana nak naikkan darjat saya. Selain anak-anak juga yang sentiasa memberi semangat dan bersama saya terus bangkit,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN