Bebaskan Palestin! -Kata dua Arab Saudi kepada Israel jika mahu

Bebaskan Palestin! -Kata dua Arab Saudi kepada Israel jika mahu normalisasi hubungan

BANGUNAN-bangunan di Bandar Gaza dibedil Israel tanpa henti. -AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Arab Saudi memaklumkan pihaknya tidak akan menjalin hubungan dengan Israel sehingga sebuah negara Palestin yang merdeka diiktiraf.

Kementerian Luar Arab Saudi dalam satu kenyataan berkata, kerajaannya menyampaikan pendirian tegas tersebut kepada pentadbiran Amerika Syarikat (AS) bahawa tidak akan ada hubungan diplomatik dengan Israel melainkan negara Palestin yang merdeka diiktiraf di sempadan 1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kotanya.

Syarat lain, kenyataan itu menyebut ‘pencerobohan’ Israel di Gaza juga mesti dihentikan dan semua tentera Israel mesti berundur dari wilayah yang dikepung.

Arab Saudi selama ini tidak pernah mengiktiraf Israel dan tidak menyertai Perjanjian Abraham 2020 yang diuruskan oleh AS dan hanya menyaksikan negara jirannya di Teluk iaitu Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu serta Maghribi menjalin hubu­ngan rasmi dengan negara itu.

Kenyataan itu sebagai tindak balas kepada ulasan Jurucakap Majlis Keselamatan Negara White House, John Kirby yang memberitahu pemberita kelmarin bahawa perbincangan me­ngenai normalisasi Saudi-Israel sedang berterusan.

AS mendakwa menerima maklum balas positif daripada kedua-dua pihak bahawa mereka bersedia meneruskan perbincangan itu.

Dalam lawatan di rantau itu minggu ini, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken melawat Arab Saudi sebelum singgah ke Mesir, Qatar dan kemudian Israel di mana beliau cuba mendesak mengenai perjanjian gencatan senjata dalam perang Israel-Hamas.

Kelmarin, Blinken membe­ritahu pemberita di Doha bahawa Putera Mahkota Saudi, Mohammed Salman Al Saud mengulangi minat Arab Saudi untuk meneruskan normalisasi dengan Israel semasa pertemuan mereka di Riyadh.

Malah, pentadbiran Presiden AS, Joe Biden mendesak Arab Saudi untuk mengiktiraf Israel.

Sebelum perang Israel-Hamas meletus pada 7 Oktober tahun lalu, Riyadh meletakkan syarat termasuk jaminan ke­selamatan dari Washington dan membantu membangunkan pro­gram nuklear awam.

Sebarang momentum terhenti sejurus Hamas melancarkan serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Israel selatan pada 7 Oktober yang mengorbankan kira-kira 1,160 orang, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.

Seminggu kemudian, sumber yang biasa dengan rundingan normalisasi memberitahu AFP bahawa Arab Saudi menghentikan proses itu.

Bersumpah untuk menghapuskan Hamas, Israel me­lancarkan serangan udara dan darat yang membunuh se­kurang-kurangnya 27,585 orang di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan di wilayah kendalian Hamas.

Duta Arab Saudi ke Wa­shington, Puteri Reema Bandar al-Saud memberitahu dalam Forum Ekonomi Dunia bulan lalu bahawa normalisasi adalah mustahil tanpa penciptaan negara Palestin.

Dalam perkembangan yang sama, Israel berkata, pihaknya sedang meneliti tindak balas Hamas terhadap rancangan untuk menghentikan hampir empat bulan pertempuran di Gaza selepas pengantara utama, Qatar memaklumkan pejuang Palestin memberikan jawapan positif kepada perjanjian yang dicadangkan.

Malah, Blinken dalam lawatan kelimanya di rantau itu sejak perang meletus pada Oktober lalu tiba di Israel untuk membincangkan apa yang di­sebutnya perjanjian penting.

“Kami menerima jawapan dari Hamas berhubung rangka kerja umum perjanjian ber­kenaan dengan tebusan.

“Jawapan itu termasuk beberapa komen, tetapi secara umum ia adalah positif,” kata Perdana Menteri Qatar, Mohammed Abdulrahman Al-Thani selepas bertemu Blinken di Doha.

Hamas mengesahkan ia me­nyampaikan maklum balasnya terhadap cadangan yang dikeluarkan itu seminggu lalu di Paris melibatkan Qatar dan pengantara lain. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×