PETALING JAYA: Bekas jaguh permotoran Asia, Azlan Shah Kamaruzaman beri bayangan bahawa musim 2024 bakal menjadi tahun terakhirnya beraksi di Kejuaraan Motorsikal Asia (ARRC).
Antara faktor yang menyebabkan Azlan sedang mempertimbangkan keputusan itu adalah disebakan umurnya serta situasi semasa majikannya, Onexox TKKR Racing.
Azlan yang kini menginjak ke usia 40 tahun mengakui bukan mudah untuk dia terus bersaing dengan para pelumba muda khususnya dalam kategori perdana, Superbike Asia (ASB) 1000 di ARRC.
Tambahan pasukannya, Onexox TKKR Racing kini sedang bergelut untuk mendapatkan penajaan bagi kelangsungan penyertaan mereka dalam saingan ARRC musim ini yang akan membuka tirai 15 Mac depan.
“Saya masih menanti keputusan yang muktamad. Jika tiada tempat untuk saya beraksi pada musim ini, saya akan mengundur diri daripada saingan Asia.
“Saya telah meletakkan had maksima iaitu setakat umur 40 tahun sahaja untuk berlumba sahaja di pentas Asia. Lebih daripada itu, ia menjadi begitu sukar buat saya untuk bersaing dengan pelumba muda,” jelas Azlan.
Justeru pilihan yang Azlan ada ketika ini adalah untuk beralih ke saingan Kejuaraan Endurance Dunia (EWC) pada tahun hadapan.
“Tahun ini, saya akan turut menyertai perlumbaan 8 jam Suzuka dan jika segalanya berjalan lancar, saya mungkin akan memberi komitmen penuh dengan saingan EWC pada 2025.
“Perlumbaan ketahanan lebih sesuai dengan saya untuk peringkat umur sebegini. Badan saya tidak seperti dahulu, sementara kita boleh terus bersaing dengan pelumba muda, ia memerlukan kudrat yang berganda terutamanya dari segi stamina,” tambah Azlan.
Anak jati Klang itu kembali ke perlumbaan ARRC pada 2016 selepas berkelana selama tiga musim di pentas Kejohanan Dunia Moto2.
Azlan bukan sahaja melakar sejarah menjadi pelumba pertama menjuarai kategori ASB 1000 pada 2019, namun turut pernah bergelar juara bagi kategori Supersport (SS) 600 pada edisi 2013 dan 2017.










