BUKIT MERTAJAM : Atas dasar tanggungjawab dan rasa prihatin terhadap insiden yang meragut nyawa seorang anggota bomba ketika sedang menyelenggara bot di Jeti Pangkalan Marin, Mak Mandin baru-baru ini, Persatuan Kebajikan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengambil inisiatif membawa kelima-lima anak Allahyarham Mohd. Izwan Illias, 42, untuk membeli pakaian sekolah.
Yang Dipertua Persatuan Kebajikan JBPM, Datuk Ahmad Izram Osman berkata, inisiatif itu diambil dengan kerjasama Pusat Pakaian Hari-Hari Sdn. Bhd..
Ahmad Izram yang juga Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JPBM berkata, selain pakaian dan kelengkapan sekolah, mereka turut menyampaikan sumbangan berupa pakaian hari raya untuk kelima-lima anak Allahyarham yang berusia antara enam hingga 16 tahun itu.
“Jika nak dibandingkan dengan sumbangan yang telah diberikan oleh arwah (Mohd. Izwan) terhadap pasukan bomba sebelum ini, tidak ternilai berbanding sumbangan kecil ini. Jadi, kita terpanggil untuk menyampaikan sumbangan ini kepada anak-anak beliau,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Izram bersama Pengarah Hari-Hari Bumi Jaya Sdn. Bhd., Datuk Amiluddin Latip selaku pemilik pusat pakaian tersebut menyantuni kelima-lima anak Allahyarham iaitu Ilham Zulfaqar Mohd. Izwan, 16; Ihsan Zulfaqar, 15; Jannatul Husna, 13; Izzul Zulfaqar, 10, dan si bongsu, Ienaira Aisyah, enam tahun membeli pakaian sekolah di pusat pakaian berkenaan di Bandar Perda, di sini.
Turut-serta ialah datuk dan nenek kepada kanak-kanak tersebut iaitu Illias Osman, 77, serta Rahmah Che Din, 69.
Dalam pada itu, Ilham Zulfaqar selaku anak sulung kelihatan tenang walaupun terpancar keceriaan pada wajahnya tatkala diberi peluang mencuba pakaian sekolah yang baharu bersama adik-adiknya yang lain.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada semua terutamanya pasukan bomba dan Hari-Hari (Pusat Pakaian Hari-Hari),” katanya ringkas namun penuh bermakna.
Sementara itu, Amiluddin berkata, selaku antara pembekal pakaian sekolah dan hari raya terbesar ketika ini, pihaknya berbesar hati kerana diberi peluang untuk turut-serta dalam program tanggungjawab sosial korporat itu bersama JBPM.
“Saya sendiri ada cadangkan kepada Datuk Zam (Ahmad Izram) agar anak-anak ini dijadikan anak angkat bagi pemberian pakaian sekolah pada masa akan datang juga,” ujar beliau.
Tambahnya, kolaborasi bersama Persatuan Kebajikan JBPM itu akan diperluas ke negeri-negeri lain selepas ini jika ada permintaan dan keperluan.-UTUSAN










