PETALING JAYA: Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilihat menggunakan perkataan sarkastik apabila beriltizam untuk meneruskan usaha membunuh bola sepak di Malaysia.
Tulis Tunku Mahkota Johor (TMJ) melalui perkongsian terbaharu di Instagram beliau, usaha itu bukan baharu direncanakan, sebaliknya sudah lebih satu dekad kelab itu melakukannya dan oleh itu, TMJ menyeru peminat bola sepak di Malaysia menghentikan agenda berkenaan.
“Bukan musim ini. Pada masa akan datang. Sebagai pembunuh bola sepak tanah air dari dulu saya dah banyak kali katakan yang saya akan terus membunuh bola sepak tanah air.
“Dah 11 tahun saya merosakkan bola sepak tanah air dalam setiap aspek. Saya menyeru kepada semua penyokong bola sepak tanah air bersatu padu dan beramai-ramai hentikan agenda saya. Terima kasih dan semoga berjaya,” tulis TMJ.
Kenyataan itu juga seperti menawarkan cabaran kepada pasukan di dalam Liga Malaysia (Liga M) untuk menghentikan dominasi JDT dalam saingan liga tempatan.
Segala perancangan yang direncana dan dilaksanakan JDT telah berjaya menaikkan martabat bola sepak di Malaysia ke satu tahap lebih tinggi.
Senario bola sepak tempatan juga berubah antaranya gaji pemain, infrastruktur pasukan dan terbaharu, TMJ memberikan bantuan kewangan sebanyak RM300,000 semusim bagi penyelenggaraan padang yang dinaiktaraf menerusi geran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kepada kelab Liga M.
Usaha KBS dan TMJ ini bertujuan untuk memastikan saingan Liga M tidak berdepan masalah dengan keadaan padang yang sering rosak terutama ketika musim hujan, dalam masa sama mampu meningkatkan tahap permainan setiap pasukan.
Sejak mengambil alih Persatuan Bolasepak Negeri Johor pada 2012 sebelum menjenama dan menswastakan skuad utama kepada JDT, TMJ tidak pernah berhenti untuk melakukan pelbagai transformasi kepada pasukan itu, sehingga mereka berjaya mencipta sejarah demi sejarah.
Bermula dari 2014 sehingga 2023, Harimau Selatan telah memenangi 26 piala liga domestik dan Piala AFC serta mencatatkan rekod baharu, 100 jaringan gol dalam saingan Liga Super pada musim lalu.