JERANTUT: Felda diharap terus fokus meningkatkan harga kelapa sawit kepada RM1,200 satu metrik tan dan berusaha memberi ‘duit raya’ kepada lebih 100,000 warga peneroka pada tahun ini.
Selain itu, Felda dan kerajaan diminta meneruskan agenda membantu generasi kedua untuk menyertai projek-projek lain seperti ternakan, pertanian atau lain-lain bidang bagi menjamin pendapatan masing-masing agar terus stabil.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Biro Sosial Gabungan Ketua-Ketua Peneroka Felda Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, walaupun harga kelapa sawit sebanyak RM800 satu metrik tan ketika ini dianggap mencukupi tetapi menyukarkan peneroka untuk hidup dengan selesa.
“Jika harga itu dapat dikekalkan dan terus meningkat, barulah peneroka di seluruh negara berasa kehidupan terjamin terutama dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin tinggi akibat ketidaktentuan ekonomi dunia.
“Ini harapan kita pada 2024 ini agar kerajaan dapat menstabilkan harga komoditi itu dan pasti peneroka dapat menarik nafas lega apabila harga komoditi berkenaan stabil dan meningkat,” katanya di sini semalam.
Razak yang juga Ketua Peneroka Felda Jengka 24 berkata, Felda banyak membantu warga peneroka melalui pelbagai kemudahan dengan menyediakan peruntukan dan pinjaman untuk aktiviti ekonomi tambahan pertanian dan ternakan dalam Program Pembangunan Peneroka.
Beliau berkata, untuk tahun ini, peneroka berharap Felda meneruskan agenda untuk generasi kedua tanah rancangan itu membuat projek ternakan, pertanian atau lain-lain bidang bagi menjamin pendapatan masing-masing terus stabil.
“Ia boleh diberikan menerusi pemberian geran atau pinjaman oleh pihak kerajaan kepada generasi kedua Felda,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap kerajaan dapat mengembalikan bonus produktiviti atau duit raya kepada peneroka Felda menjelang Hari Raya Aidilfitri yang dihentikan sejak 2019.
Menurutnya, peneroka Felda sudah lima tahun tidak dapat duit raya sebagai mana dinikmati sebelum ini.
“Peneroka Felda mahu bonus sebagai hadiah penghargaan kerajaan dan Felda kepada peneroka kerana titik peluh peneroka adalah penyumbang penting ekonomi negara.
“Melalui hasil sawit peneroka yang diniagakan, Felda mendapat keuntungan setiap tahun. Diharap pada tahun ini, Felda dan kerajaan mengkaji semula tentang duit raya yang dahulunya menjadi kegembiraan warga peneroka,” katanya.- UTUSAN










