Liga Super 2024: Penang FC tagih semula 'aura' Merzagua perkuat pasukan - Utusan Malaysia

Liga Super 2024: Penang FC tagih semula ‘aura’ Merzagua perkuat pasukan

MERZAGUA Abderrazak (dua dari kanan) bersama Daniel Gooi (tengah) serta barisan kepimpinan lain ketika sidang akhbar sempena sesi Town Hall Penang FC bersama penyokong dan peminat di Harmonico Conference Hall, George Town, Pulau Pinang, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Enggan dibayangi kegagalan menempatkan diri dalam kalangan pasukan terbaik sepanjang musim lepas, Penang FC tampil membuat persiapan lebih awal untuk menghadapi saingan Liga Super kali ini apabila membawa masuk semula legenda mereka, Merzagua Abderrazak sebagai pengarah teknikal pasukan.

Selain merekrut legenda kelahiran Maghribi itu, Penang FC turut mengekalkan khidmat Akmal Rizal Ahmad Rakhli sebagai ketua jurulatih dan melantik penolong jurulatih sebelum ini, Manzoor Azwira sebagai pengendali untuk skuad Liga Simpanan Penang FC.

Merzagua, 57, dalam pada itu berkata, dia sangat berbesar hati kerana diberi peluang untuk berkhidmat sekali lagi bersama pasukan yang pernah melonjakkan namanya sebelum ini.

MERZAGUA Abderrazak pernah membantu Harimau Kumbang mendakap kejuaraan Liga Perdana 1998 sebagai pemain selain membawa skuad Pulau Mutiara muncul sebagai juara Liga FAM selaku ketua jurulatih.9

“Kali pertama saya datang ke Pulau Pinang iaitu sebagai pemain (pada 1996), semua orang tahu saya bermula dengan kosong. Kemudian kami menjadi salah satu daripada pasukan bola sepak terbaik di Malaysia pada masa itu.

“Semasa tiba buat kali kedua sebagai jurulatih pula (2012 dan 2013) saya turut berdepan cabaran kerana ketika itu Pulau Pinang (Penang FA) telah lama beraksi dalam saingan Liga FAM. Bagaimanapun, kita berjaya menjadi juara (Liga FAM) dan layak untuk beraksi dalam Liga Perdana.

“Ini kali ketiga saya di sini (Pulau Pinang) dan saya kini berdepan dengan cabaran baharu. Bagi saya, Pulau Pinang umpama ‘rumah’ kedua saya selepas Morocco (Maghribi). Jadi, tidak ada sebarang kesukaran buat saya.

“Apa yang ingin saya tekankan ialah kita (Penang FC) perlu ada identiti sendiri, corak permainan tersendiri serta semangat melawan yang istimewa untuk berjaya. Maka, itu adalah antara sebabnya mengapa saya ada di sini,” katanya.

Beliau ditemui ketika sidang akhbar sempena sesi Town Hall Penang FC bersama peminat dan penyokong pasukan di Harmonico Conference Hall, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi selaku Pengerusi Penang FC serta Pengurus Besar Penang FC, Jeffrey Chew.

Sementara itu, Akmal Rizal berkata, pembentukan pasukan baharu Penang FC bagi menghadapi saingan Liga Super musim ini kini telah mencapai 90 peratus dan beliau optimis gabungan pemain muda serta berpengalaman mampu memberikan impak positif kepada pasukan selepas ini.

Katanya, untuk barisan staf kejurulatihan pula, dua muka lama masih dikekalkan iaitu jurulatih penjaga gol, Hisyam Jainudin serta penolong jurulatih, Mat Saiful Mohd. selain turut membawa masuk dua jurulatih baharu daripada skuad muda bawah 23 tahun untuk memperkuatkan pasukan.

“Bagi pemain import, setakat ini kita hanya mengekalkan khidmat Rafael Vitor dan kini masih dalam perbincangan untuk membawa masuk beberapa pemain lagi yang dilihat berpotensi.

“Mungkin dalam masa beberapa minggu lagi kita akan ‘finalize’ (muktamadkan) senarai pemain dan umumkan pemain-pemain import kita yang lain,” katanya yang memaklumkan, terdapat beberapa pemain yang sedang beraksi dalam saingan Piala Asia di Qatar ketika ini kini turut berada dalam ‘radar’ Penang FC untuk saingan musim baharu ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Daniel berharap para penyokong dan peminat Harimau Kumbang bersabar serta mendoakan yang terbaik untuk pasukan musim ini.

“Buat masa ini, kita tak dapat letakkan sebarang sasaran terutamanya untuk saingan Liga Super 2024.

“Maka, sebab itulah kita perlu buat libat urus termasuk sesi seperti ini (town hall) untuk lebih realistik sebelum mengumumkan perkara berkenaan (sasaran),” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya