RAMALLAH: Seramai enam rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara oleh pesawat Israel di Tebing Barat hari ini.
Berdasarkan laporan Alarabiya News, menurut tentera Israel, serangan itu sebenarnya menyasarkan kumpulan pejuang Palestin.
Bagaimanapun, selain enam orang awam, seorang pegawai polis sempadan Israel terbunuh dan yang lain cedera apabila kenderaan mereka terkena bahan letupan semasa operasi di bandar Jenin, Tebing Barat.
Malah, sebuah helikopter dilihat cuba membantu menyelamatkan mereka dengan melindungi tembakan yang disasarkan kepada orang awam itu, kata tentera.
“Dalam kejadian berkenaan, sebuah pesawat melepaskan tembakan ke arah ‘skuad pejuang yang melontar bahan letupan dan membahayakan pasukan kami, sejumlah pejuang terbunuh,” kata tentera Israel.
Kementerian kesihatan Palestin pula berkata, enam rakyat Palestin terbunuh dalam serangan yang dikatakan menyasarkan orang ramai yang berkumpul di tapak itu.
Empat daripada mereka yang terbunuh adalah adik beradik, menurut ahli keluarga.
Serangan itu dibuat ketika Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken melawat wilayah bergolak itu.
Blinken memulakan perjalanan selama seminggu bermula Sabtu lalu, bertujuan untuk meredakan ketegangan yang memuncak sejak perang Israel dengan Hamas yang bermula selepas pejuang Hamas menyerang Israel tiga bulan lalu, membunuh 1,200 orang dan menjadikan 240 tebusan Israel.
Lawatan Blinken bermula dengan pertemuan dengan pemimpin Turkiye dan Greece serta akan membawanya ke beberapa negara Arab serta Israel dan Tebing Barat yang diduduki.
Serangan balas Israel pula membunuh 22,700 rakyat Palestin, kata pegawai Palestin, dan konflik merebak ke Tebing Barat, Lubnan, dan lorong perkapalan Laut Merah.
Tebing Barat telah pun mengalami tahap kekacauan tertinggi dalam beberapa dekad dalam tempoh 18 bulan sebelum serangan 7 Oktober lalu ke atas Israel, tetapi konfrontasi meningkat secara mendadak apabila tentera Israel melancarkan pencerobohan ke atas Gaza.
Beratus-ratus rakyat Palestin terbunuh dalam pertempuran dengan askar dan peneroka Israel sejak beberapa minggu lalu dan pasukan keselamatan membuat beribu-ribu penangkapan.
Sekurang-kurangnya 327 rakyat Palestin terbunuh di Tebing Barat sejak konflik tercetus, menurut kiraan Kementerian Kesihatan Pihak Berkuasa Palestin.