PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggunakan Majlis Perhimpunan Penjawat Awam di setiap negeri sebagai langkah untuk menggesa penjawat awam mendaftar Pangkalan Data Utama (PADU).
Setiausaha Agung CUEPACS, Abdul Rahman Mohd Nordin berkata, langkah itu adalah satu inisiatif yang berkesan untuk memberi kesedaran kepada penjawat awam tentang pentingnya PADU di masa akan datang.
Menurutnya, kumpulan tersebut perlu menjadi contoh kepada masyarakat dalam memastikan kejayaan program PADU.
“Kami sedang menguar-uarkan kepada penjawat awam dengan menggunakan media massa dan juga kami telah membuat kenyataan akhbar mengenainya.
“Saya amat yakin dengan perhimpunan yang diadakan akan datang ini jumlah pendaftaran PADU akan meningkat dengan mendadak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sebelum itu, semua penjawat awam diarah mengemas kini maklumat masing-masing menerusi PADU selewat-lewatnya 15 Februari ini.
Arahan itu dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, melalui surat pekeliling bertarikh 17 Januari lalu.
Katanya lagi, CUEPACS menghantar surat berkenaan PADU kepada semua kesatuan gabungan bagi memastikan maklumat yang tepat sampai kepada penjawat awam.
Jelasnya, sokongan daripada semua pegawai awam untuk segera mendaftar sistem PADU, wajar dijadikan sebagai salah satu agenda utama dalam semua organisasi sektor awam.
“Pendapat saya, kira-kira 1.7 juta penjawat awam tidak ada masalah untuk mendaftar PADU dengan teknologi masa kini hanya di hujung jari kita.
“Ketua jabatan di perkhidmatan awam perlu memastikan setiap kakitangan mendaftar dalam sistem berkenaan,” katanya.
Perhimpunan penjawat awam seterusnya bakal diadakan di Ballroom Mega Hotel di Miri, Sarawak pada 27 Februari ini. – UTUSAN