“Jomlah mama kita mandi kolam, main air laut.” Rengek anak saya malam tadi untuk dibawa bercuti pada musim cuti sekolah ini.
Manakan tidak, kawan-kawan sekelasnya ramai yang sudah merancang percutian bersama keluarga.
Ada yang berhajat menunaikan umrah, tidak kurang juga yang merangka angan untuk menginap di hotel lima bintang selama seminggu dengan ahli keluarga.
Pantas suami saya menjawab boleh. Asalkan dapat A berderet, barulah boleh bercuti dan naik kapal terbang. Anak saya hanya tergelak, sebab akur, syarat itu tidak mudah untuk dicapai dalam sekelip mata.
Bila difikirkan kembali sudah hampir tiga tahun kami sekeluarga tidak makan angin keluar dari ibu kota.
Segala-galanya bermula pada 2020. Dek pandemik, kita kena patuh pada SOP. Itu belum lagi urusan menunaikan ibadah haji dan urusan lain yang lebih mustahak daripada memikirkan soal bercuti di mana tahun ini.
Tahu sahajalah, waktu cuti sekolahlah selalunya banyak barang naik harga, sekaligus memakan kos.
Bagi ibu berkerjaya seperti saya, bercuti dalam rumah pun nikmat juga, yang penting happy. Bukan senang nak ambil cuti lama-lama.
Makan angin ini pun kena ukur baju di badan sendiri. Tidak perlu mengikut gaya hidup orang lain yang kita tengok seronok ke sana sini.
Bercuti dan makan angin hingga ke luar negara pun bukanlah wajib, bila memperlihatkan keadaan ekonomi semasa.
Sebuah artikel ada menyebut usah didik anak dengan ganjaran, sebaliknya memberikan ganjaran hanya sekiranya anak mencipta atau mencapai suatu kejayaan dalam hidupnya.
Contohnya, kalau dapat nombor 1 dalam kelas, patutlah diberikan ganjaran bercuti sebagai galakan untuk dirinya terus mengekalkan kecemerlangan.
Bukannya bila cuti sekolah sahaja merancang cuti walaupun anak dapat kedudukan corot dalam kelas. Berbeza impak dan pengertiannya.
Lebih penting lagi, tahun ini saya berazam mengusahakan formula kewangan 50:30:20 yang membabitkan pecahan keperluan, kemahuan dan simpanan individu dan keluarga.
Rekod Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI), mendedahkan seramai 31,140 belia berusia 35 tahun ke bawah didaftarkan sebagai bankrap sejak 2014 hingga Mei 2023.
Saya kira tabiat menyimpan perlu dipupuk daripada kecil lagi dalam kalangan anak kita sebab dapatan kajian mendapati ramai orang kita tidak membuat simpanan. Gaji habis tanpa menyimpan.
Ia diperkukuhkan lagi dengan kajian oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa tiga daripada empat rakyat Malaysia tidak mampu menyediakan wang sebanyak RM1,000 apabila berdepan dengan kecemasan.
Semunya berpunca daripada sikap. Tidak suka menyimpan, tidak tahu cara menyimpan atau tidak boleh membezakan antara keperluan dengan kemahuan.
Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana, Utusan Malaysia